Peniaga Pasar Awam Kepala Batas bersyukur jualan kasar meningkat ketika COVID-19

 

PENAGA – Beberapa peniaga Pasar Awam Kepala Batas di sini menzahirkan rasa syukur kerana hasil jualan kasar harian mereka meningkat walaupun sedang berdepan ancaman wabak COVID-19.

Muhammad Amin Abdullah, 25, memberitahu bahawa tiap-tiap hari sekitar 150 ekor ayam segar yang siap diproses berjaya dijual.

“Sebelum (pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiap-tiap hari boleh jual 70 hingga 90 ekor ayam segar yang siap diproses.

“Kalau hendak jual lebih 150 ekor pada hari biasa (sebelum PKP) ini, mungkin pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Sehari sebelum ‘perintah’ (iaitu pada 17 Mac 2020), hampir 200 ekor ayam terjual… (mungkin) sebab pembelian panik kerana ada pihak tertentu kata kerajaan nak buat Perintah Berkurung (curfew), tapi tidak begitu.

“Apabila masuk hari ke-14 (PKP) ini, hasil jualan meningkat, sehari boleh jual lebih kurang 150 ekor, saya insaf dengan COVID-19 yang menjejaskan semua pihak, tapi pada masa yang sama bersyukur hasil jualan (kasar) meningkat,” jelasnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di pasar berkenaan, pagi tadi.

Tinjauan umum di Pasar Awam Kepala Batas mendapati rata-rata pengunjung patuh terhadap arahan jarak sosial serta memakai pelitup muka (face mask).

Di pintu utama masuk ke pasar basah pula, kelihatan beberapa pegawai penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang menjalankan tugas pemeriksaan suhu badan, selain memantau aktiviti membeli-belah di sini.

Tidak ada langsung aktiviti berhimpun atau berkelompok di kompleks makanan di sebelah pasar awam di sini, melainkan hanya untuk membeli makanan secara bungkus.

Walaupun tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April, Muhammad Amin memberitahu bahawa beliau yakin bekalan daging ayam segar sentiasa cukup untuk memenuhi permintaan rakyat setempat.

“Kalau tidak ada pembelian panik, InsyaAllah cukup ayam di pasar awam ini… jangan ada pembelian panik

“Ada pelanggan bukan (amal) pembelian panik, tetapi sengaja beli lebih buat bekalan kerana nak hadkan pergerakan keluar rumah,” jelasnya lagi.

Difahamkan, keluarga Muhammad Amin menjual ayam segar di sini sejak tahun 2001 lagi, iaitu ketika Pasar Awam Kepala Batas mula dibuka.

“Semua ‘ayam hidup’ ini kita beli dari beberapa ladang ternak, bekalan cukup, kita sembelih dan proses sendiri untuk dijual.

“Harga dari ladang sekitar harga kurang RM5 sekilogram dan kita jual di sini RM8 sekilogram,” jelasnya yang mengakui beliau adalah anak jati Permatang Bogak, kawasan Parlimen Kepala Batas .

Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi peniaga ikan di pasar berkenaan, Azhar Che Mat, 56, dari Lahar Ikan Mati, Penaga.

Katanya, setiap hari, kira-kita jam 10 malam, beliau bersama-sama beberapa pekerjanya akan bergegas ke Pasar Borong Mergong, Alor Star, Kedah.

“Ikan dan segala hasil laut Kuala Kedah dinaikkan di sana jam 2 pagi, sedang eloklah kalau saya bertolak dari sini (Lahar Ikan Mati, Penaga) jam 10 malam.

“Walaupun sepanjang tempoh wabak (COVID-19) ini, ada nelayan tidak ke laut, tapi bekalan ikan sentiasa mencukupi di sini (Pasar Awam Kepala Batas).

“Walaupun kelihatan pengunjung agak tidak ramai (disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan), tapi hasil jualan kasar saya meningkat.

“Sebagai peniaga ikan, COVID-19 menginsafkan kita semua, tetapi pada masa yang sama saya bersyukur sebab rezeki bertambah (serta) jualan kasar pun meningkat sedikit, kalau tak banyak pada hari-hari biasa (hari bekerja Isnin hingga Jumaat),” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap agar Pihak Berkuasa Negeri dapat melonggarkan syarat PKP ke atas para pemborong barang-barang keperluan harian yang terpaksa ‘melintas’ negeri.

“Saya memandu lori tiap-tiap malam (sekitar jam 10 malam) untuk pergi borang ikan di Pasar Borong Mergong dalam jam dua pagi untuk pastikan bekalan ikan cukup di Pasar Awam Kepala Batas.

“Kalau polis minta surat kebenaran, memang tidak ada, cuma harap budi bicara para anggota keselamatan negara yang sedang bertungkus-lumus melawan COVID-19.

“Seperkara lagi, Pasar Borong Mergong (Alor Star) jangan ubah operasinya dari jam 2 pagi kepada 8 pagi.

“Kalau Pasar Awam Kepala Batas mula jual jam 8 pagi juga, macam mana saya nak dapatkan bekalan ikan-ikan segar pada hari yang sama?” soalnya sambil memuji PKP yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, tinjauan umum turut dilakukan di pasar raya Tesco Bertam Perdana serta sekatan trafik di pintu keluar tol Bertam, Kepala Batas.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB