Peniaga Pasar Awam Taman Tun Sardon sokong Kempen Basmi Tikus

Admin
feature image kempen basmi tikus

PADA 14 Julai lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan Kempen Basmi Tikus 2024 di Pasar Awam Taman Tun Sardon.

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang ketika ditemui berkata bahawa kempen tersebut merupakan salah satu daripada empat kempen kesihatan persekitaran di bawah peruntukan KPKT.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai inisiatif dan program telah dibawa sepanjang kempen ini berlangsung termasuk tindakan kawalan dan mitigasi tikus menerusi kaedah fizikal (perangkap) dan kimia (rodenticide), saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pameran cegah denggi dan tikus serta pemberian taklimat mengenai kawalan tikus menggunakan inovasi Rat Cycle Trapper (RCT).

tan soo siang
TAN Soo Siang.

“Para peniaga disarankan untuk memastikan kebersihan gerai dan pasar sentiasa terpelihara untuk mengelakkan pembiakan tikus,” kata Soon Siang.

Difahamkan, MBPP akan memperluaskan kempen ini secara menyeluruh ke semua pasar-pasar awam bagi memastikan kebersihan awam berada pada tahap terbaik.

Di samping itu, wartawan pelatih Buletin Mutiara, NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI berkesempatan membuat tinjauan lapangan untuk mendapatkan maklum balas lanjut daripada peniaga mengenai kempen yang diadakan tersebut.

Bagi IDZUANDEE ABDUL GANI, 45, beliau berpendapat bahawa kempen yang diadakan itu sangat memberi kesan positif kepada beliau dan peniaga lain di pasar awam tersebut.

idzuandee abdul gani
IDZUANDEE Abdul Gani.

“Saya rasa kempen ini sangat bagus dan memang diperlukan kerana masalah tikus sudah lama menjadi isu di sini.

“(Dan) dengan adanya kempen ini setiap tahun, masalah tikus akan semakin berkurangan hari demi hari.

“Setakat ini kedai saya tiada masalah tikus merosakkan barang atau apa-apa peralatan kerana semua barang jualan akan saya simpan di dalam tong sebelum pulang ke rumah,” kata Idzuandee yang sudah 30 tahun berniaga jualan telur.

Menurut pemenang gerai bersih bagi kategori jualan daging, ABDUL RAHMAN KACHI-MYDIN, 45, pihaknya bersyukur atas kempen yang diadakan baru-baru ini.

abdul rahman kachi mydin
ABDUL Rahman Kachi-mydin.

“Kempen ini memang sangat membantu dan ia turut menunjukkan pihak berkuasa serius menangani masalah tikus di pasar.

“Sudah beberapa kali saya mengalami masalah tikus menggigit wayar peti sejuk menyimpan daging sebelum ini namun selepas beberapa kali inisiatif basmi tikus ini diadakan, tikus mula kurang kelihatan dan sudah tiada masalah wayar putus di gerai saya,” ujarnya.

NORAMIRA BAHARUDIN, 36, merupakan pemenang gerai bersih bagi kategori jualan peruncitan pula menyatakan bahawa kempen ini telah memberi kesedaran kepadanya dan juga para peniaga lain.

noramira baharudin
NORAMIRA Baharudin.

“Kempen ini membuka mata kami (peniaga) tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan untuk kesihatan semua.

“Ia juga memotivasikan kami untuk lebih peka terhadap kebersihan gerai dan keselesaan pelanggan yang datang membeli.

“(Tambahan pula), kita meniaga barangan makanan jadi pentingnya untuk peniaga memastikan tahap keselamatan dan kualiti barang jualan,” jelas Noramira sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa atas kempen yang dilaksanakan.

Selain itu, menurut IDWAN YEOW, 52, beliau mencadangkan agar pemantauan secara berkala diadakan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu tikus dengan lebih efektif.

idwan yeow
IDWAN Yeow.

“Selain memasang perangkap dan racun, pihak berkuasa boleh mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian berterusan untuk memastikan kebersihan pasar sentiasa terjaga.

“Ini boleh melibatkan pemeriksaan berkala oleh pihak berkuasa kesihatan dan laporan berkala dari peniaga mengenai keadaan kebersihan gerai masing-masing.

“Mungkin pihak berkuasa boleh menyediakan lebih banyak peralatan dan bahan pembersihan yang efektif untuk digunakan oleh peniaga seperti perangkap tikus, racun yang selamat digunakan di kawasan pasar, dan tong sampah yang tertutup rapat untuk mengelakkan tikus mendapat akses kepada sisa makanan,” cadangnya.

Bagi NORHILWA JOHARI, 44, yang merupakan peniaga sayur-sayuran berharap kempen basmi tikus diadakan dengan lebih kerap agar masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas.

norhilwa johari
NORHILWA Johari.

“Saya berharap akan ada lebih banyak program pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan cara-cara mengawal masalah tikus.

“Lebih banyak maklumat dan pengetahuan, (maka) kami (peniaga) dapat mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih berkesan.

“Justeru, diharap pihak berkuasa tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan terus memberikan sokongan kepada peniaga melalui kempen-kempen kebersihan yang berterusan, penyediaan peralatan kebersihan, dan sokongan moral,” ulasnya lanjut.