Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Para pemohon lesen gerai sementara di pasar Ramadhan tahun ini disarankan untuk mematuhi syarat-syarat ditetapkan Bahagian Perlesenan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Ahli Majlis MPPP, Ahmad Azrizal Tahir dalam satu sidang media di sini berkata, demi keselamatan dan keselesaan semua, MPPP telah menyarankan semua pemohon lesen gerai sementara untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Sekiranya gagal, mereka berkemungkinan akan dikenakan tindakan denda memandangkan MPPP memandang berat soal keselesaan, keselamatan dan kebersihan penyediaan makanan.
“Malah, kita juga mewajibkan setiap peniaga untuk mendapatkan suntikan pelalian anti typoid (Typhim VI) dan pemeriksaan kesihatan terutama pengendali makanan dan minuman di pasar Ramadhan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MPPP, Aidi Akhbal Mohamed Zainon, S. Sukumar dan Lim Boon Beng.
Selain itu, katanya, pemohon juga perlu mematuhi syarat kebersihan dan kesihatan antaranya, memakai apron dan penutup kepala ketika menjalankan perniagaan dan dilarang menggunakan bekas polisterina bagi sebarang tujuan jualan makanan serta minuman.
Sempena kedatangan bulan Ramadhan tahun ini, MPPP menyediakan 18 lokasi tapak bazar yang menawarkan kira-kira 1,000 lot berniaga.
Antara lokasi pasar Ramadhan adalah di Kampung Sungai Pinang, tapak penjaja bersebelahan Masjid Umar Ibn Al-Khattab, Bayan Baru dan tapak pasar malam Tanjong Tokong.