Peniaga, pengunjung gembira Pasar Awam Seberang Jaya kini lebih luas dan selesa

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.25

BANGUNAN baharu Pasar Awam dan Pusat Penjaja Mukim 1, Seberang Jaya yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2019 telah beroperasi mulai 1 April lalu.

Kini, pasar awam dan pusat penjaja tersebut dilengkapi dengan 263 ruang niaga yang lebih luas, tidak termasuk 200 tapak peniaga tidak berlesen serta 450 lot parkir kereta.

Ketika tinjauan Buletin Mutiara pagi tadi, rata-rata peniaga dan pengunjung di pasar awam berkenaan meluahkan rasa gembira dengan fasiliti baharu bernilai kira-kira RM19.5 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.30
Nordin Ahmad.

NORDIN AHMAD, 52 tahun berkata keadaan Pasar Awam dan Pusat Penjaja Mukim 1, Seberang Jaya kini jauh lebih luas, selesa dan teratur berbanding sebelumnya.

“Berbanding pasar awam lama yang agak sempit dan sesak, keadaan sekarang adalah jauh lebih baik sama ada untuk peniaga mahupun pengunjung.

“Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak berwajib untuk kemudahan para pengunjung dan peniaga seperti kipas, lampu, tandas, surau, ruang parkir yang luas serta ruang makan yang lebih selesa.

“Sebagai pelanggan setia yang sering berkunjung ke sini sejak 18 tahun lalu, saya rasa lebih gembira dengan keadaan sekarang ini,” katanya.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.29 (1)
Ruang niaga yang teratur.

Pada masa sama, Nordin yang merupakan anak jati Tanjong Bunga berharap agar peniaga dan pengunjung pasar awam berkenaan dapat bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan terutamanya dalam aspek kebersihan.

“Kerajaan Negeri sudah sediakan kemudahan yang selesa untuk kita semua, jadi menjadi tanggungjawab kita pula untuk menjaganya dengan baik.

“Cuma satu masalah yang saya lihat setakat ini adalah kebanyakan motosikal diparkir di ruang hadapan pasar yang bukan merupakan kawasan khas parkir, ini menyebabkan berlakunya kesesakan di pintu masuk pasar ini.

“Oleh itu, saya harap pihak berwajib dapat memasang papan tanda larangan meletakkan kenderaan di kawasan pintu masuk bagi mengelakkan pengunjung meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya,” katanya yang bekerja di Kulim, Kedah.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.28 (1)
Syed Faizal Syed Khazim.

Peniaga minuman, SYED FAIZAL SYED KHAZIM, 48, pula berkata bahawa beliau sangat berpuas hati dengan fasiliti baharu tersebut kerana lebih luas dan selesa selain lot parkir yang mencukupi.

Namun katanya, beberapa penambahbaikan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk menyediakan lebih banyak tong sampah bagi mengelakkan pengunjung membuang sampat di tempat tidak sepatutnya.

“Selain itu, saya berharap pihak berwajib juga dapat menambah bilangan meja makan terutamanya di kawasan yang masih lapang kerana pengunjung mengadu tempat makan masih belum mencukupi untuk mereka menjamu selera.

“Kalau PBT tidak boleh buat penambahan, mereka boleh juga serahkan kepada peniaga untuk membuka meja sendiri tetapi dengan syarat meja tersebut tidak boleh sampai menghalang laluan orang kurang Upaya (OKU) yang disediakan,” katanya.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.23
Kawasan parkir yang lebih luas.

Syed Faizal berkata, peningkatan jumlah sewa ketika ini kepada RM300 berbanding RM190 sebelum ini menyebabkan beliau terpaksa menaikkan sedikit harga minimum sekitar 10 sen atau 20 sen mengikut keadaan semasa.

“Namun, pada saya jumlah sewaan gerai ini tidaklah terlalu membebankan kerana kita jangka pengunjung juga akan bertambah memandangkan lokasi sekarang ini lebih strategik kerana dekat dengan kawasan perumahan.

“Setakat ini, saya lihat kehadiran pengunjung masih ramai terutamanya semasa cuti musim perayaan baru-baru ini,” katanya yang mula menjalankan perniagaan menjual kuih dan minuman di situ sejak tahun 1992 lagi.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.27 (1)
Muhammad Syafiq Parameswaran.

Nada sama turut disuarakan oleh peniaga sayur-sayuran yang berasal dari Perai, MUHAMMAD SHAFIQ PARAMESWARAN, 60 tahun.

“Sudah tentu saya lebih sukakan keadaan sekarang kerana bangunan pasar awam ini lebih luas, bersih dan selesa.

“Saya mula bepindah ke sini sejak 1 April lalu dan saya lihat kebanyakan peniaga lebih gembira berniaga di bangunan baru ini kerana banyak kemudahan disediakan seperi tandas dan lot parkir yang banyak.

“Cuma kalau boleh saya harap PBT dapat menanam lebih banyak pokok di sekitar pasar ini untuk kurangkan rasa panas,” katanya yang telah menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lalu.

Ditanya mengenai harga jualan, Muhammad Syafiq berkata beliau masih menetapkan harga yang munasabah mengikut keadaan pasaran semasa.

“Sebenarnya selepas bulan Ramadan baru-baru ini, harga bagi beberapa jenis sayuran mengalami penurunan seperti kacang buncis, cili, bawang, terung dan banyak lagi.

“Saya harap keadaan ini akan mendorong lebih ramai pelanggan untuk datang dan berbelanja di sini,” katanya.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.27
Ambiga Dewi.

Bagi peniaga runcit yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Awam Seberang Jaya, AMBIGA DEWI, 58, berkata kenaikan harga sewaan gerai kepada RM300 masih berbaloi dengan kemudahan yang disediakan kini.

“Ya, memang berlaku kenaikan harga sewa gerai tetapi bagi saya jumlah ini berbaloi dengan semua kemudahan yang kami nikmati kini.

“Jadi, pada saya kenaikan itu mampu ditampung dengan kehadiran lebih ramai pelanggan untuk berbelanja di sini.

“Cuma kedudukan gerai sudah berubah dan mungkin akan menyebabkan pelanggan sedikit keliru tetapi saya rasa selepas beberapa bulan beroperasi, semuanya akan kembali seperti biasa,” katanya sambil memuji langkah Kerajaan Negeri menyediakan ruangan khas kepada penjaja tidak berlesen di pasar berkenaan.

whatsapp image 2025 04 10 at 14.42.26 (1)
Looi Kam Khuan.

Seorang lagi peniaga kedai barangan runcit, LOOI KAM KHUAN, 71, turut mengakui bahawa bangunan baharu pasar awam dan pusat penjaja tersebut lebih selesa dan teratur.

“Gerai makanan juga sudah bertambah, jadi ini akan memberikan lebih banyak pilihan cita rasa makanan kepada pengunjung.

“Bangunan ini juga sangat luas dan selesa cuma saya harap pihak Majlis (Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) boleh memanjangkan tempoh nyalaan lampu sehingga jam 12.30 tengah hari.

“Ini kerana apabila lampu ditutup pada jam 10 pagi, ramai pengunjung memberitahu bahawa sesetangah kedai kelihatan gelap dan mereka beranggap kami sudah menutup kedai lebih awal.

“Jadi, kalau boleh kami mohon pertimbangan MBSP untuk memanjangkan tempoh nyalaan lampu,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan di pasar berkenaan sejak 15 tahun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD