Peniaga restoran makanan lega pelanggan dibenar makan di premis

Gambar Fail.

KEPUTUSAN Kerajaan Persekutuan membenarkan aktiviti makan di dalam premis (dine-in) pastinya memberi kelegaan kepada orang ramai terutamanya peniaga-peniaga restoran dan gerai makanan.

 

Selepas lebih sebulan bergelut dengan kemerosotan hasil jualan akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu, rata-rata peniaga yang ditemui Buletin Mutiara kini dilihat mula menarik nafas lega.

 

Suriani Ahmad.

SURIANI AHMAD, 47, berkata bahawa keputusan kerajaan membenarkan makan di dalam premis sudah semestinya disambut baik oleh kebanyakan peniaga kecil yang kini terkesan teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

 

Katanya, pelaksanaan PKP 2.0 pada Januari lalu memburukkan lagi keadaan yang mana kedatangan pelanggan ke gerai makanan yang diusahakan lebih 20 tahun lalu itu telah berkurangan hampir separuh berbanding sebelumnya.

 

“Sejak PKP, hasil jualan yang mampu diperoleh berkurangan 50 peratus kerana kebanyakan pelanggan yang biasa datang ke kedai ini bekerja dari rumah.

 

“Jika ada yang datang pun mereka hanya bungkus beberapa jenis lauk sahaja. Sekarang orang ramai sudah dibenarkan makan di kedai jadi jumlah pelanggan juga semakin meningkat.

 

“Sebagai peniaga adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan pelanggan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan berlaku jangkitan di premis makanan,” ujarnya ketika ditemui digerainya dekat Teluk Air Tawar.

 

Mohd. Sophie Hashim.

Bagi MOHD. SOPHIE HASHIM, 57, kebenaran makan di dalam premis memberi harapan baru kepada beliau untuk meneruskan semula perniagaan yang diusahakannya sejak sekian lama.

 

“Walaupun banyak peniaga sekarang menggunakan aplikasi online untuk membantu meningkatkan hasil jualan tetapi tetap tidak sama dengan makan di premis sebab kebanyakan yang datang ke kedai ini adalah pelanggan tetap.

 

“Diharapkan selepas ini kebenaran makan di premis dapat diteruskan dengan pematuhan SOP yang ketat supaya peniaga dapat meningkatkan perniagaan masing-masing,” katanya.

 

pah Izah Abdul Aziz.

PAH IZAH ABDUL AZIZ, 57, pula berkata bahawa kehadiran pelanggan ke kedainya dekat Seberang Jaya semakin bertambah sejak kerajaan membenarkan aktiviti makan di dalam premis.

 

“Alhamdulillah… sekarang pelanggan sudah datang ke kedai seperti biasa cuma sebagai peniaga kami berharap agar para pelanggan dapat mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

 

“Paling penting peniaga perlu bertanggungjawab memastikan para pelanggan mengikuti SOP kerana tanggungjawab memutuskan rantaian penularan COVID-19 adalah tugas kita bersama,” tegasnya.

 

Abdul Wahab Azmi.

Sementara itu, ABDUL WAHAB AZMI, 44, berkata bahawa keputusan kerajaan membenarkan makan di dalam premis bukan sahaja membantu para peniaga tetapi turut memberi kemudahan kepada orang ramai.

 

“Biasanya kami yang selalu bekerja di lapangan lebih suka makan di kedai kerana lebih cepat dan memudahkan.

 

“Sebelum ini, apabila kerajaan hanya benarkan bungkus sahaja kita perlu mencari tempat lain untuk makan. Keadaan ini sangat menyusahkan,” responsnya.

 

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF