Peniaga, usahawan Islam di Pulau Pinang wajib tunai zakat melalui ZPP

img 20241222 185204

GEORGE TOWN – Semua peniaga dan usahawan beragama Islam yang menjalankan perniagaan di negeri Pulau Pinang adalah diwajibkan untuk menunaikan zakat melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Mufti Kerajaan Negeri, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata perkara itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 yang telah bersidang pada 10 hingga 12 September 2024.

Beliau berkata, kaedah pengiraan zakat perniagaan adalah berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh pihak ZPP.

“Selain itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2019 yang telah bersidang pada 17 September 2019 memutuskan bahawa hukum pembayaran zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) adalah wajib.

“Bayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak adalah sah, namun perbuatan membelakangkan amil yang dilantik oleh MAINPP adalah berdosa dan menyalahi hukum syarak.

“Fatwa juga memutuskan bahawa adalah aram memindahkan zakat ke luar dari negeri Pulau Pinang berdasarkan maslahah semasa kerana ia menafikan hak dan menjejaskan keperluan asnaf,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Mohd. Sukki berkata, Islam menganjurkan agar zakat diagihkan kepada golongan asnaf di tempat rezeki diperoleh bagi memastikan asnaf setempat mendapat manfaat langsung daripada kutipan zakat tersebut.

Tambahnya lagi, keputusan tersebut diambil selaras dengan usaha memastikan kebajikan masyarakat asnaf di Pulau Pinang, terutama dalam konteks negeri ini yang merupakan hab pelaburan tinggi dan mempunyai potensi kutipan zakat yang besar.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak, khususnya para pekerja dan majikan di sektor industri, agar memastikan zakat harta, pendapatan, dan perniagaan dibayar melalui saluran yang sah di bawah pentadbiran MAINPP.

“Langkah ini bukan sahaja memenuhi tanggungjawab hukum syarak tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat asnaf di negeri ini

“Malah, MAINPP juga akan meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan serta sektor industri untuk memberi kefahaman dan galakan kepada pekerja dan majikan tentang kepentingan pembayaran zakat di tempat rezeki diperoleh,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF