Penilaian semula cukai taksiran, MBPP buka kaunter penerangan di 8 lokasi bermula esok

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif khas dengan membuka kaunter penerangan mengenai penilaian semula cukai taksiran bagi tahun 2020 di lapan lokasi terpilih bermula esok, 28 September 2019.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pendekatan tersebut adalah bagi menjelaskan dengan lebih terperinci kepada orang ramai berhubung inisiatif berkenaan.

 

“Serentak itu, orang ramai juga akan diberi penjelasan mengenai prosedur untuk membuat bantahan dan sebagainya seperti yang dinyatakan dalam notis pemberitahuan.

 

“Notis tersebut telah dihantar kepada pemilik hartanah sebelum ini, dan bantahan boleh dibuat sehingga 14 Oktober 2019 seperti yang diperuntukan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau Akta 171,” ujarnya pada sidang media di Komtar dekat sini pagi ini.

 

Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang yang turut hadir berkata bahawa kaunter penerangan tersebut akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad bermula esok (28 September 2019) sehingga 13 Oktober 2019.

 

“Bagi hari-hari biasa (Isnin hingga) Jumaat, orang ramai boleh hadir ke pejabat MBPP di Komtar bagi mendapatkan maklumat lanjut,” serunya.

 

Berikut adalah senarai lokasi kaunter penerangan berserta tarikh dan masa:

28 September 2019, 5 Oktober 2019, 12 Oktober 2019 (Sabtu)
1. Gurney Paragon Mall
2. Queensbay Mall
3. Tesco Jelutong
4. Pasar Awam Balik Pulau
(Masa 11 pagi sehingga 9 malam kecuali di Pasar Awam Balik Pulau, 7:30 pagi sehingga 1 petang).

29 September 2019, 6 Oktober 2019, 13 Oktober 2019 (Ahad)
1. Gurney Plaza
2. Tesco Tanjung Tokong
3. Sunshine Square Bayan Baru
4. Sunshine Farlim
5. Pasar Awam Balik Pulau
(Masa 11 pagi sehingga 9 malam kecuali di Pasar Awam Balik Pulau, 7:30 pagi sehingga 1 petang).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI