PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri sentiasa memantau fasiliti kesihatan di Pulau Pinang selaras dengan peningkatan jangkitan kes COVID-19 kebelakangan ini.
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, statistik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa 90 peratus kes jangkitan adalah berada pada Kategori 1 dan (Kategori) 2.
“Didapati kemasukan ke hospital serta kemudahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah masih mampu diuruskan iaitu kemungkinan hampir 50 peratus, maka Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan tersebut.
“Fasiliti (kesihatan) tambahan juga bersedia untuk dibuka sekiranya kes kemasukan ke hospital bertambah,” ujarnya pada sidang media sejurus Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTT Properties & Development Sdn. Bhd. (MTTSB) dengan Selgate Properties Sdn. Bhd. (SPSB) bagi pembinaan sebuah hospital swasta dekat Balik Pulau di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengerusi Kumpulan MTT Group of Companies, Datuk Seri Kenny Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd. Ghouth dan dif-dif jemputan berkaitan.
Mengulas mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), Kon Yeow merayu kepada ibu bapa di negeri ini agar membenarkan anak-anak bawah jagaan masing-masing menerima vaksin.
“Ini penting agar mereka (kanak-kanak) juga dilindungi, itulah mesej yang ingin saya sampaikan.
“Berkaitan dos penggalak, Kerajaan Negeri turut menyeru kepada individu yang layak supaya menerima dos ketiga, sila dapatkan janji temu secepat mungkin sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau hadir terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pengoperasian bazar Ramadan, Kon Yeow memaklumkan bahawa ia dibenarkan selaras dengan kebenaran diumumkan oleh KKM sebelum ini.
“Saya percaya penilaian risiko dilakukan setiap hari oleh KKM, ini juga bagi menentukan kebenaran terbabit terus kekal atau sebaliknya,” maklumnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS