Peningkatan peruntukan 84%, bukti KN dokong Islam sebagai agama rasmi

Admin

GEORGE TOWN – Peruntukan bagi hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang antara 2008 hingga 2016 berjumlah RM457 juta, berbanding tempoh sama (antara tahun 2000- 2007) sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) hanya RM257 juta.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sehingga 84 peratus berbanding semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran BN.

“Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan pembangunan Islam di Pulau Pinang dengan mendokong kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” ucapnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ketiga Belas baru-baru ini.

Menurut Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Kerajaan Negeri dalam usaha memartabatkan ilmu pendidikan Islam, sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Guar Jering, Permatang Pauh bernilai RM1.3 juta telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya akhir tahun lalu.

“Kos pembinaan SAR ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, manakala bagi SAR di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), SAR Tuan Guru (Tanjung Tokong) dan SAR di Masjid Abdullah Fahim (Seberang Perai Utara, SPU) kini dalam proses pembinaan.

“Malah, Maahad Tahfiz yang beroperasi di negeri ini juga didaftarkan bagi membolehkan penyaluran bantuan dan pemantauan dijalankan supaya mutu pembelajaran serta kebajikan pelajar-pelajar ini tidak diabaikan.

“Juga, penyempurnaan Ibu Pejabat Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang terletak di Jalan Scotland, atas tanah Kerajaan Negeri bernilai RM80 juta, dengan kos RM33 juta dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan menjadi sebahagian antara kejayaan dalam pembangunan Islam di Pulau Pinang,” jelas beliau.