Peningkatan pesakit alami kegagalan buah pinggang di Malaysia membimbangkan – Exco

Admin
DR. Afif Bahardin (kemeja putih) memotong riben pada gegantung simbolik kepada perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 sambil diperhatikan oleh Dr. Wan Mansor Hamzah (tiga dari kanan) pagi tadi.

GEORGE TOWN – Peningkatan pesakit yang mengalami penyakit kegagalan buah pinggang di Malaysia dalam tempoh lapan tahun  sejak tahun 2009 hingga 2017 semakin membimbangkan, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin.

 

Kebimbangan tersebut disuarakan beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 dekat Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Bayan Baru, hari ini.

 

“Saban tahun, bilangan rakyat Malaysia yang menderita mengalami penyakit kegagalan buah pinggang meningkat. Pada tahun 2009, seramai 21,245 rakyat negara ini menjalani rawatan dialisis dan jumlah ini telah meningkat kepada 42,009 orang (2017).

 

“Peningkatan pesakit sebanyak dua kali ganda dalam tempoh hanya lapan tahun dan ia dijangka akan berterusan meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan seperti tabiat pemakanan rakyat Malaysia tidak diubah,” ujar Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah; Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Ong Lok Meng dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 tersebut.

 

Menurut Afif, merujuk kepada Malaysia Dialysis and Transplant Registry, dua penyebab utama penyakit kegagalan buah pinggang ialah kencing manis dan tekanan darah tinggi.

 

“Satu fakta yang penting ialah kebanyakan pesakit (buang pinggang) tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal kerana ianya silent disease.

 

“Oleh itu adalah penting bagi pesakit kencing manis dan darah tinggi menjalani saringan awal untuk mengelakkan gejala lebih teruk hingga terpaksa menjalani rawatan dialisis,” ujarnya sambil berkongsi bahawa amalan pemakanan sihat serta menjalankan aktiviti fizikal mampu untuk membendung penyakit tersebut.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : J. KIRRTHANA