Peningkatan pesakit kencing manis membimbangkan – Menteri

Admin
photo 2024 03 11 13 30 25

BATU MAUNG – Menteri Sumbar Manusia, Steven Sim Chee Keong menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan pesakit kencing manis (diabetes) dan buah pinggang dalam kalangan pekerja di Malaysia.

Peningkatan tersebut, katanya, dilihat mampu menggugat dari segi produktiviti di tempat kerja selain kualiti hidup yang rendah.

“Saringan yang dibuat terhadap 175,526 pekerja berusia 40 tahun dan ke atas pada tahun lalu sehingga Februari lepas mendapati sebanyak 59.9 peratus daripada mereka mempunyai masalah kolestrol tinggi, 23.52 peratus berat badan berlebihan (obesiti) dan 20.45 peratus ada darah tinggi (hipertensi).

“Kita juga mendapati penghidap kencing manis meningkat amat ketara kepada 20 peratus tahun lalu berbanding saringan yang dilakukan pada tahun 2013.

“Dalam tempoh 2012 hingga 2022 pula peningkatan perbelanjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) naik sebanyak sembilan peratus bersamaan RM28 juta akibat penyakit kencing manis,” ujarnya pada Program Pekerja Sihat dan Selamat yang diadakan di Jabil Circuit Sdn. Bhd., Bayan Lepas di sini pagi tadi.

 

 

Turut diadakan serentak adalah Kempen Tolak Gula PERKESO 2024.

 

photo 2024 03 11 13 30 52 (1)

Hadir sama, Exco Belia Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO; Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Naib Presiden Operasi Jabil Malaysia, Low Choon Yien dan Pengarah Urusan Jabil Malaysia, S.J Tan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Chee Keong memaklumkan bahawa PERKESO mensasarkan untuk menyaring 100,000 orang pekerja pada tahun ini yang berusia 40 tahun ke atas secara percuma.

 

“Untuk tambahan PERKESO menyasarkan untuk mewujudkan pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

 

“Kita akan berbincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dari segi kelulusan, setakat ini cuma ada empat pusat dialisis milik PERKESO di Malaysia,” maklum Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS