BATU LANCANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan komuniti penjaja dan peniaga adalah pemegang taruh penting dalam memastikan dasar-dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) sampai kepada masyarakat.
Ini kerana menurut beliau, golongan tersebut dilihat antara yang paling dekat dengan komuniti setempat.
“Maka apa-apa dasar yang dilaksanakan tanpa sokongan pemegang taruh yang penting ini, akan ‘dikurniakan’ dengan kegagalan.
“Jadi, itu merupakan pendekatan yang kita (Kerajaan Negeri) mahu jalankan di Pulau Pinang, iaitu sebelum Majlis (PBT) membuat sebarang perubahan, walaupun penambahbaikan, sekiranya tidak diterangkan dengan baik, ia mampu jadi perkara yang ‘menjejaskan’ pula,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga MBPP 2022 di di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Ketua-ketua Jabatan.
Mengulas lanjut Yeow menyatakan bahawa dasar PBT akan menjadi lebih kuat apabila komuniti penjaja menyahut dan menyokong segala dasar serta inisiatif yang dilaksanakan dalam mencapai matlamat Majlis.
“Inilah satu tekad MBPP untuk bersama komuniti penjaja sebagai pemegang taruh penting bagi memastikan bandar raya kita menjadi sebuah tempat yang mana kita boleh mencari rezeki di samping mampu menawarkan kualiti hidup demi kesejahteraan rakyat jelata kita.
“(Dan) penghargaan kepada komuniti peniaga adalah satu kesedaran bahawa sektor penjaja serta komuniti peniaga adalah (komuniti) yang paling dekat dengan rakyat jelata.
“Saya dimaklumkan bahawa, walaupun hari penjaja sudah diadakan sejak tahun 1996, namun setelah hampir 30 tahun, hanya satu PBT iaitu MBPP yang masih meraikannya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada penjaja dan komuniti penjaja agar segera mengadaptasi teknologi dan aplikasi pintar dalam menjalankan urusniaga seharian agar tidak ketinggalan.
Dalam pada itu, Rajendran memaklumkan bahawa transaksi tanpa tunai bagi peniaga di negeri ini adalah melebihi RM10 juta pada tahun lalu dan berharap ia akan dipertingkatkan lagi.
“Terkesan dengan pandemik COVID-19, beberapa inisiatif telah dibuat oleh Majlis bagi merangsang ekonomi peniaga tempatan antaranya cashless, JBO (Jom Beli Online), Bussiness From Home dan usaha ini telah mengundang reaksi positif dalam kalangan peniaga serta orang awam.
“Selain itu, dengan perkembangan teknologi dan aplikasi pintar, golongan penjaja serta peniaga dapat dibantu dalam meningkatkan hasil jualan dengan beberapa aplikasi seperti Grab Food, Food Panda, DeliveryEat.
“Kemudahan penghantaran dari peniaga kepada pelanggan dan dengan adanya aplikasi ini, peniaga dapat bersama-sama menikmati konsep perkongsian ekonomi yang semakin mendapat tempat,” ulasnya lanjut.
Pada majlis sama, 30 penjaja dan peniaga turut menerima penganugerahan membabitkan pelbagai ketegori pengiktirafan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD