Penjaja dan peniaga Taman Chai Leng perlu jalani saringan COVID-19

Admin

PERAI – Seramai 400 penjaja dan peniaga Pasar Awam Chai Leng Park perlu menjalani ujian saringan ekoran 11 kes positif dikesan membabitkan peniaga di pasar berkenaan baru-baru ini.

 

Justeru, Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai telah mengadakan program ujian saringan percuma sebagai langkah proaktif memutuskan rantaian penularan COVID-19 di pasar berkenaan.

 

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Buddhist Tzu Chi, Nasi Kandar Pelita, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah.

 

Timbalan Ketua Menteri II yang juga ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, sehingga jam 2 petang semalam, seramai 194 peniaga dan penjaja telah dusaring dan berjaya mengesan tiga kes positif.

 

P. Ramasamy (kiri) melihat persediaan yang dilakukan di kaunter saringan.

“Mereka yang dikesan positif terus dirujuk kepada Pejabat Daerah Kesihatan Seberang Perai Tengah untuk pemeriksaan selanjutnya.

 

“Oleh itu, saya memohon agar semua peniaga dan penjaja yang menjadi kontak rapat untuk membuat pendaftaran dan menjalani saringan ini.

 

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan bantuan dan sumbangan sepanjang program ini berlangsung,” katanya ketika hadir memantau pelaksanaan program tersebut dekat Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, di sini semalam.

 

Antara penjaja dan peniaga yang hadir untuk disaring.

Ditanya mengenai pengunjung yang berkemungkinan dijangkiti, Ramasamy mengatakan bahawa penduduk di sekitar Perai juga akan menjalani saringan sebagai langkah berjaga-jaga.

 

“Kami di Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai akan memulakan saringan terhadap 1,000 penduduk di sini yang berisiko dijangkiti dan mempunyai kontak rapat bermula 1 Julai ini anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

 

Pada masa sama, beliau turut menggesa agar semua penduduk Perai mendaftar sebagai penerima vaksin di aplikasi MySejahtera.

 

Difahamkan, pendaftaran bagi program saringan ini telah dibuka pada 27 Jun 2021 (Ahad) bermula jam 10 pagi dan diteruskan sehingga hari ini.

 

Peniaga dan penjaja yang telah disaring telah diberikan pelitup muka dan bahan pencuci tangan (hand sanitizer) secara percuma.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : PERTUBUHAN BUDDHIST TZU CHI