Penjawat awam diseru sumbang idea demi kelangsungan Negeri dalam mencapai visi Penang2030

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru penjawat awam Negeri agar saling menyumbang idea, saranan dan kerangka demi kelangsungan negeri dalam mencapai sasaran visi Penang2030.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka untuk sebarang bentuk cadangan dan idea demi penambahbaikan dasar-dasar yang dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri kini sedang dalam kerangka untuk menyiapkan perincian mengenai Penang2030 dan selepas itu, dasar dan pelaksanaannya akan dilakukan serta melibatkan pelbagai sektor dan peringkat.

“Visi Penang2030 ini perlu difahami kerana agenda ini akan menjadi tulang belakang dalam merencanakan pembangunan Negeri yang semestinya memerlukan kerjasama serta penglibatan terutamanya semua penjawat awam Pulau Pinang.

“Saya berharap anugerah (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) ini dapat menjadi pemangkin kecemerlangan untuk mencapai inspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘A Family – focused Green and Smart State That Inspires the Nation’,” ujarnya ketika hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di sini hari ini.

Majlis dengan tema Integriti, Kreativiti dan Kegigihan Menginspirasikan Kecemerlangan berkaitan menyaksikan seramai 245 warga penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan-jabatan Negeri dan Badan Berkanun Negeri yang mempamerkan perkhidmatan cemerlang dan bermutu tinggi diberikan pengiktirafan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengajak para penjawat awam untuk melihat kepada cabaran yang perlu ditempuhi untuk menyakinkan para pelanggan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan adalah cepat, tepat dan berkualiti.

“Sentimen dan isu-isu seperti kelewatan, kerenah birokrasi dan kepelbagaian Standard Operating Procedure (SOP) perlu terus diperbaiki agar sistem penyampaian pentadbiran awam sentiasa relevan dalam kalangan para pelanggan.

“Iniasiatif dan pemantauan secara berterusan perlu dilaksanakan dalam proses melestari dan meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam masa kini,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD