Penjawat awam dituntut berkhidmat penuh dedikasi, sokong dasar kerajaan

Admin
feature image perhimpunan penjawat awam

JAWI – Semua penjawat awam negeri Pulau Pinang dituntut supaya bersikap lebih berdedikasi dan menyokong dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan sedia ada.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata penjawat awam adalah tulang belakang kepada kejayaan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum akan usaha Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam memastikan kebajikan penjawat awam terpelihara.

“Kita (kerajaan) sedar bahawa aspek latihan, penyelidikan dan pembangunan profesional adalah sangat penting untuk meningkatkan kompetensi dan kecekapan penjawat awam.

wong hon wai
WONG Hon Wai.

“Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan bagi memastikan penjawat awam mendapat manfaat yang maksimum daripada inisiatif ini,” katanya pada majlis perasmian Program Perhimpunan Penjawat Awam Madani dekat Bukit Jawi Golf Resort di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim; Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aminuddin Awang; Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin; Pengerusi CUEPACS Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Zulkafli Kamaruddin; Pengarah Penjara Pulau Pinang, Fayrouz Ahmad Zawawi; ketua-ketua pengarah, ketua-ketua jabatan dan seluruh warga penjawat awam.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri juga amat memahami situasi yang dihadapi CUEPACS, terutamanya dalam aspek kekurangan ruang dan tempat operasi.

“Kami yakin dengan kemudahan yang lebih baik, CUEPACS mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan lagi,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

perhimpunan penjawat awam
WONG Hon Wai (dua dari kanan) bersama Aminuddin Awang (kiri sekali), Baderul Amin Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Zulkafli Kamaruddin dalam sesi penyampaian cenderamata.

Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai memaklumkan bahawa selain sektor pembuatan, sektor pelancongan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri.

“Sebagai Exco, saya amat berbangga dengan usaha-usaha yang telah dijalankan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama.

“Pulau Pinang tidak hanya terkenal dengan keindahan alam dan warisan budayanya, tetapi juga sebagai pusat kreativiti dan inovasi.

“Penjawat awam perlu memainkan peranan kritikal dalam memastikan pelancong yang datang ke negeri ini merasakan layanan yang mesra, efisien dan profesional,” ujarnya.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY