Penjawat awam dituntut lebih telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat

Admin
img 20240109 wa0009

GEORGE TOWN – Semua penjawat awam negeri Pulau Pinang dituntut supaya bersikap lebih adil, telus dan efisien dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa hanya menerusi etika dan sifat tanggungjawab yang tinggi akan membolehkan agenda negeri serta negara dapat dilaksanakan secara efektif.

“Saya faham, bukan mudah untuk kita semua menjadi penjawat awam kerana kita akan sentiasa dipantau, diperhatikan dan diadili oleh rakyat atas kebolehan kita melaksanakan tugas serta amanah.

img 20240109 wa0032
Ketua Menteri mengetuai lafar ikrar bebas rasuah.

“Namun, perkara ini perlu kita lihat secara positif agar setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksana dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan demi kesejahteraan negeri ini.

“Mari kita bersama-sama menjadikan tahun 2024 sebagai tahun kejayaan kerana saya yakin dengan semangat kesetiaan dan keperibadian yang ditunjukkan hari ini, kita dapat membawa negeri Pulau Pinang ke arah yang lebih cemerlang,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bil. 1 Tahun 2024 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen; ex-officio serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan.

Pada majlis itu, Kon Yeow mengetuai semua penjawat awam negeri melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang merangkumi syarat 10 langkah integriti sebagai komitmen memerangi rasuah dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Antara 10 langkah integriti tersebut termasuklah mengamalkan prinsip kecekapan, akauntabiliti, dan ketelusan (CAT), mengamalkan tender terbuka yang berdaya saing, anggota pentadbiran dilarang mendapatkan kelulusan tanah negeri, keluarga mereka tidak boleh melakukan perniagaan atau mendapatkan kontrak dari kerajaan negeri dan tidak dibenarkan menerima “donation” peribadi.

img 20240109 wa0030

img 20240109 wa0029

img 20240109 wa0034

img 20240109 wa0026

 

Selain itu, perlindungan penuh kepada pemberi maklumat, peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan yang hidup di luar kemampuan dan ketelusan dalam sumbangan politik turut terangkum dalam ikrar tersebut.

Dalam majlis itu juga, Kon Yeow turut menyampaikan Insentif Penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 kepada jabatan-jabatan Kerajaan Negeri yang memperoleh pengiktirafan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada sidang media selepas itu, Rosli menyatakan bahawa tidak ada mana-mana penjawat awam negeri yang disabitkan dengan kesalahan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada tahun 2023.

“Berdasarkan rekod, di negeri Pulau Pinang tidak ada kes yang melibatkan kakitangan awam Kerajaan Negeri yang terlibat dengan kesalahan rasuah dan ini merupakan satu pencapaian yang baik.

“Tuduhan itu memang ada, tetapi tidak ada (penjawat awam) yang disabitkan kesalahan rasuah atau diambil tindakan tatatertib setakat ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua penjawat awam di negeri Pulau Pinang agar bekerja dengan lebih kuat, telus dan ikhlas tanpa melakukan sebarang penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Itu sebahagian daripada janji kita kepada Kerajaan Negeri, rakyat Pulau Pinang dan ketua negara,” katanya sambil menambah bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini juga menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mencatatkan prestasi terbaik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI