Penjawat awam harus ‘tidak berpihak’, profesional laksana dasar kerajaan – Farizan

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Seri Farizan Darus merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow atas inisiatif mengadakan majlis jamuan makan malam sempena persaraannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau memberitahu, kira-kira 35 tahun dalam perkhidmatan awam terutama lapan tahun sebagai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, paling mencabar adalah ketika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bukan dikuasai oleh parti politik yang sama.

Bagaimanapun, katanya, sebagai penjawat awam, beliau sendiri sedaya upaya untuk mengambil sikap ‘tidak berpihak’ serta melaksana segala dasar yang diputuskan di peringkat Kerajaan Negeri.

Justeru, Farizan menyeru semua penjawat awam di peringkat negeri dan persekutuan supaya mengekalkan budaya kerja secara profesional dan komited dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputus oleh Kerajaan.

“Sebagai penjawat awam, prinsip yang saya pegang selama ini iaitu berkhidmat kepada Kerajaan Negeri sejak zaman pembangkang pada suatu ketika dahulu, kita tidak berpihak kepada mana-mana fraksi politik parti.

“Dan, adalah menjadi amanah serta tanggungjawab kita untuk melaksanakan segala keputusan Kerajaan Negeri, pada ketika itu,” jelasnya pada majlis berkaitan di sini pada 2 Disember 2019.

Selain Kon Yeow, turut berucap sebelum itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri baharu, Dato’ Abdul Razak Jaafar.

Kon Yeow memberitahu, Farizan adalah contoh pemimpin yang berdedikasi serta profesional dalam memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua’ penjawat awam negeri.

“Dato’ Seri (Farizan) mempunyai sikap professionalisme yang tinggi dalam kerja seharian, dan beliau juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan setiap visi serta misi pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang berada dalam landasan benar sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan harapan agar Farizan dan seisi keluarga senantiasa sihat serta dapat melunaskan hobi yang tertangguh ekoran mengutamakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, selama ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Narawi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Mufti Kerajaan Negeri Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor turut sertai majlis penghargaan tersebut.

Turut serta, Puan Tan Lean Kee (isteri Kon Yeow) dan Datin Seri Hamidah Mat Daud (isteri Farizan).

Farizan bersara pada 8 November 2019.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video : DARWINA MOHD. DAUD