Penjawat awam wajar terima suntikan vaksin, kata responden

Admin

GEORGE TOWN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada September lalu melaporkan bahawa sebanyak 26 peratus daripada 1.6 juta jumlah keseluruhan penjawat awam masih belum divaksin.

Susulan daripada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini telah mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut JPA, beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Justeru, Buletin Mutiara melakukan tinjauan umum untuk mendapatkan pandangan orang awam berhubung isu tersebut.

Bagi penjawat awam, SITI HAJAR ABDUL RAHIM, 37, pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan penting untuk mengelakkan kesan yang serius sekiranya individu itu dijangkiti COVID-19.

Oleh itu katanya, sebagai pasukan barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, penjawat awam tidak sepatutnya menolak pengambilan vaksin tanpa alasan kukuh demi keselamatan bersama.

“Sebagai penjawat awam, tidak sepatutnya kita menolak pengambilan vaksin tanpa alasan munasabah kerana tugas kakitangan kerajaan kebanyakan adalah melibatkan interaksi dengan orang awam.

“Disebabkan itu juga, penjawat awam perlu kekal sihat untuk terus produktif dalam pekerjaan dan bukannya menjadi ejen penyebaran penyakit tanpa kita sedari.

“Lebih penting, penjawat awam merupakan ejen penyampaian maklumat yang tepat bagi pihak kerajaan termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang, jadi kita perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara padi tadi.

Nada sama turut diutarakan oleh Pengerusi One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity), DATUK CHUA SUI HAU yang menyatakan bahawa suntikan vaksin merupakan langkah pencegahan penting untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 yang lebih serius.

Justeru, beliau menegaskan bahawa setiap warganegara terutamanya penjawat awam harus menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing dengan menerima suntikan vaksin.

“Ada juga sebilangan kecil mereka yang datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) One Hope Charity tidak bersedia untuk divaksin.

“Dalam situasi ini, kita akan cuba memahami alasan mengapa mereka menolak untuk divaksin, dan kemudian mencari solusi dengan menerangkan kepada mereka mengenai kepentingan pengambilan vaksin.

“Oleh itu, sekiranya kita ingin mencapai sasaran imuniti kelompok sebagaimana yang ditetapkan, pihak berwajib perlu menangani isu-isu penolakan vaksin termasuk dalam kalangan penjawat awam,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, ABDUL WAHAB ADZMI, 44, berkata pengambilan vaksin mampu mewujudkan persekitaran kerja yang selamat bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam tetapi juga orang ramai yang datang menyelesaikan pelbagai urusan di pejabat kerajaan.

“Saya berpandangan bahawa semua penjawat awam wajar mengambil suntikan vaksin yang disarankan oleh kerajaan kerana mereka adalah petugas barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat.

“Sekiranya penjawat awam enggan mengambil suntikan vaksin, bagaimana mereka hendak yakinkan rakyat bahawa ini adalah cara terbaik dalam usaha kerajaan membendung penularan COVID-19.

“Ini sekali gus akan mengganggu rancangan kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok demi melindungi mereka yang benar-benar tidak dapat divaksin atas masalah kesihatan.

“Sebagai penjawat awam mereka sepatutnya lebih tahu mengenai kesan penularan pandemik COVID-19 terhadap sistem kesihatan awam negara, jadi mengapa masih ada yang enggan menerima vaksin tanpa alasan kukuh?” soalnya.

  1. K. GUNASUNDRI, 46, pula berpendapat bahawa penjawat awam sepatutnya menjadi kumpulan terawal menerima suntikan vaksin sekali gus menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.

“Mereka yang menolak vaksin sebenarnya bukan sahaja akan mendatangkan risiko bahaya kepada diri sendiri tetapi juga memudaratkan kesihatan orang lain.

“Lebih mengecewakan lagi apabila mereka yang enggan menerima suntikan vaksin adalah dalam kalangan penjawat awam kerana mereka ini sering berurusan dengan rakyat terbanyak.

“Jadi, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya nasihatkan kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya mengambil suntikan vaksin bagi membolehkan negara kita mencapai sasaran imuniti kelompok demi keselamatan semua,” serunya.

NOR IDAYU MAZLAN, 35, yang merupakan seorang peniaga berkata penjawat awam tidak wajar menolak suntikan vaksin kerana mereka merupakan kumpulan barisan hadapan antara kerajaan dan rakyat.

“Malah, penjawat awam sepatutnya menjadi kumpulan pertama yang perlu mengambil vaksin kerana mereka perlu berurusan dengan orang awam.

“Selain itu, penjawat awam juga ejen pelaksana untuk menjayakan polisi dan agenda kerajaan, dan dalam tempoh ini sasaran penting yang perlu dicapai adalah imuniti kelompok.

“Perkara ini penting untuk membolehkan negara kita bebas daripada cengkaman pandemik COVID-19 dan ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Tambahnya lagi, penolakan vaksin tanpa alasan kukuh oleh penjawat awam secara tidak langsung akan mewujudkan keraguan dalam kalangan rakyat terhadap kepentingan pengambilan vaksin.

“Jadi, kerajaan perlu mengambil langkah tegas bagi mengatasi masalah ini.

“Walau bagaimanapun, apa juga tindakan yang hendak diambil oleh kerajaan mestilah bukan berbentuk hukuman tetapi lebih kepada untuk mendidik demi keselamatan mereka dan rakyat terbanyak,” sarannya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING