Penjenamaan semula PPR, Kerajaan Negeri tetap bertegas unit ditawarkan mesti tidak melebihi RM42,000 – Exco

Admin

BATU LANCANG – Cadangan penjenamaan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan diharap tidak meminggir serta menjejaskan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk akses mendapatkan kediaman berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, secara dasarnya Kerajaan Negeri mengalu-alukan penjenamaan semula PPR tersebut, tetapi harga yang dicadangkan daripada RM90,000 hingga RM300,000 adalah tidak munasabah kepada golongan sasar.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mengalu-alukan penjenamaan semula PPR ini, tetapi dalam proses tersebut perlu dipastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan kepada golongan berkenaan yang rata-ratanya dalam kalangan B40 dan miskin tegar.

“Jika itu harga yang dicadangkan, saya percaya golongan ini tidak mampu sama sekali, walhal di Pulau Pinang sememangnya di pasaran kita mempunyai rumah (kos rendah) dengan harga kawalan RM42,000 sahaja di mana ia sekali ganda lebih murah dari harga PPR yang dicadangkan,” tegas beliau dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pengecatan Rumah Pangsa Batu Lanchang di sini, 14 September lalu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong; R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong) dan ‘Ainul Fadhilah Samsudi (Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).

Difahamkan, pada 20 Oktober lalu, Zuraida melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Ketua Menteri telah memaklumkan mengenai cadangan penjemaan semula PPR tersebut.

Menurut Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat, isi kandungan surat tersebut antara lainnya memohon pertimbangan dan persetujuan pihak Kerajaan Negeri untuk menggunakan kaedah yang dinyatakan untuk membangunkan PPR di kelima-lima bidang tanah dekat lima daerah di Pulau Pinang yang dicadangkan sebelum ini.

“Menteri perlu faham ekosistem perumahan di negeri ini sebelum sebarang keputusan dibuat, kerana kita ada rumah yang jauh lebih murah daripada harga yang dicadangkan, jika lain negeri bersetuju dengan cadangan ini… terpulang.

“Saya akan berbincang lanjut dengan Ketua Menteri, kita akan buat ‘counter offer proposal’ di mana jika PPR akan dilaksanakan melalui kaedah jual beli, ia mestilah ditetapkan bawah daripada kadar RM42,000.

“Contohnya seperti projek PPR di Kampung Tok Suboh, di mana sebelum keputusan ini dibuat, Menteri telah bersetuju supaya PPR di sana diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan difahamkan bahawa kaedah yang diguna pakai adalah sewa pada tahun pertama, tahun kedua dan seterusnya adalah jual beli… tapi itu tak apa sebab harga yang ditawarkan adalah RM35,000 sahaja,” jelas beliau.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG