BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri bersama-sama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhasrat menyusun semula sektor penternakan kerang di Pulau Pinang dalam menjana hasil yang lebih lumayan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif berkaitan sebagaimana laporan pelaksanaannya di Kuala Lekir, Perak mampu mendatangkan hasil yang lebih baik berbanding kaedah tradisional.
“Usaha ini sudah dimulakan di daerah SPU (Seberang Perai Utara) yang mana tapak-tapak yang disediakan akan diberikan TOL (Lesen Pendudukan Sementara) dan setiap satu tapak bakal melibatkan lapan pengusaha.
“Satu tapak kebiasaannya adalah seluas 21 hektar, dan para pengusaha akan berkongsi hasil daripada tapak-tapak berkenaan. Malah sebagai usaha berterusan, lawatan ke Kuala Lekir sudah disempurnakan dan begitu juga taklimat-taklimat kepada para pemohon di SPU, SPT (Seberang Perai Tengah) dan SPS (Seberang Perai Selatan).
“Terkini, turut difahamkan oleh Pegawai Daerah bahawa permohonan juga telah diterima,” ujarnya pada program Sembang Santai dan Sambutan Bulan Kebangsaan dekat Unit Nelayan Kuala Juru bersempena Jelajah ❤️PENANG di sini petang tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat dan nelayan-nelayan Kuala Juru.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap penstrukturan sektor penternakan kerang bakal membuka satu lembaran baharu kepada para nelayan dan pihak-pihak yang berkecimpung dalam bidang tersebut.
“Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin giat menggalakkan penternakan kerang ini yang mana menurutnya ia mampu meningkatkan taraf pendapatan nelayan kerana hasilnya adalah amat lumayan,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Dalam sembang santai petang tersebut antara isu lain dibincangkan termasuk pemberian TOL kepada nelayan di kawasan sungai, naik taraf bangunan Unit Nelayan Kuala Juru dan juga fenomena pencemaran.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa tahap kebersihan Sungai Juru kini adalah lebih baik sedikit iaitu daripada kelas kelima (sungai mati) kepada kelas ketiga.
“Kelas ketiga masih ada isu pencemaran cuma ia lebih baik daripada kelas kelima, justeru, kita berharap pelbagai usaha dapat diteruskan supaya sungai-sungai ini akan menjadi sumber nyawa kepada semua hidupan dan sumber pendapatan kepada rakyat negeri Pulau Pinang,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.
Sebagai simbolik kepada Parlimen kesembilan dalam Siri Jelajah ❤️PENANG hari ini, Kon Yeow turut memasang dua bendera pada bot nelayan setempat.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar & Video : SITI NURATIKAH RAHMAT