TELOK AYER TAWAR – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengingatkan pentadbir-pentadbir masjid di seluruh negeri supaya mengambil berat mengenai aspek kebajikan anak-anak kariah.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengingatkan perkara itu semasa berucap dalam Masjlis Iftar Jamaie dekat Masjid Jamek Permatang Tok Gelam di sini semalam.
“Di seluruh Pulau Pinang, terdapat 214 buah masjid yang mana tiap-tiap umat Islam di negeri ini merupakan anak khariah.
“Oleh itu, kita perlu memperkasakan lagi fungsi masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah dan solat berjemaah tetapi juga untuk melihat aspek kebajikan anak khariah terutamanya yang melibatkan golongan fakir miskin, orang sakit dan ibu tunggal,” serunya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Rashid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Samsudin Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amrah Hazali serta Pengerusi Karian Masjid Jamek Permatang Tok Gelam, Ismail Daud.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti perkara itu juga selaras dengan agenda yang terkandung dalam gagasan Khaira Ummah 2030 iaitu pelan pembangunan 10 tahun umat Islam Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri gagaskan Khaira Ummah 2030 untuk melahirkan umat Islam terbaik dalam menyediakan generasi yang sedia menghadapi cabaran kehidupan pada masa akan datang.
“Strategik inisiatif ini (Khaira Ummah 2030) akan memfokuskan dua perkara utama iaitu untuk mengimarahkan masjid bagi menggerakkan dan memantapkan kembali fungsi institusi penting umat Islam ini.
“Kedua adalah dengan memperkasakan sistem pendidikan Islam di negeri ini yang mana sekiranya kedua-dua perkara ini dapat dimantapkan, kita percaya umat Islam secara keseluruhannya dapat diperkasakan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Permatang Tok Gelam kerana telah menjayakan program iftar tersebut.
Serentak pada majlis itu juga, Ahmad Zakiyuddin yang juga ADUN Pinang Tunggal turut menyampaikan cek replika sumbangan bernilai RM7,500 kepada pihak Masjid Jamek Permatang Tok Gelam, serta mengagihkan bantuan kepada 10 asnaf terpilih di kariah berkenaan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS