Penternak babi diberi tempoh sehingga 31 Mei mohon Pengecualian Kebenaran Merancang – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 31 Mei ini kepada penternak babi untuk memohon Pengecualian Kebenaran Merancang bagi menaik taraf penternakan mereka kepada sistem ladang tertutup.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah itu bertujuan untuk memberi peluang akhir kepada penternak yang mahu menyertai program berkenaan dalam usaha menambah baik sistem penternakan sedia ada.

“Kerajaan Negeri telah meluluskan Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020 melalui Mesyuarat Exco yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac ini.

“Justeru, penternak babi perlu memohon lesen penternakan selama enam bulan bermula tarikh kuat kuasa peraturan ini melalui Bahagian Regulatori, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

“(Dan) hanya penternak babi yang telah mempunyai kelulusan Kebenaran Merancang akan dipertimbangkan kelulusan pelesenan ini.

“Manakala bagi penternak babi yang telah mendapat kelulusan bersyarat melalui Program Pengecualian Kebenaran Merancang akan diberi tempoh selama dua tahun untuk menaik taraf kepada sistem ladang tertutup mulai 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media dekat Ruang Media Menara Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Pengarah JPV Negeri Pulau Pinang, Dr. Anun Man.

Mengulas lanjut, Afif menjelaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang tersebut dijangka mengurangkan jumlah populasi babi kepada 258,119 ekor dan jumlah pengeluaran dianggarkan berkurang menjadi 24,787.22 tan metrik dengan tahap sara diri (SSL) sebanyak 183.55 peratus.

“Jumlah ini kurang berbanding data pada 2019 yang menunjukkan jumlah populasi babi di negeri ini adalah sebanyak 349,150 ekor dengan pengeluaran sebanyak 33,528.92 tan metrik dan tahap SSL pula adalah 264.77 peratus.

“Walaupun pengeluaran babi berkurangan tetapi ia masih melebihi tahap SSL dan cukup untuk menampung permintaan babi di negeri ini.

“Dalam jangka masa panjang, saya percaya populasi babi akan bertambah kepada normal kerana dengan adanya sistem penternakan tertutup, produktiviti dan hasil penternakan babi akan meningkat,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS