BUKIT TAMBUN – Usahawan sektor penternakan dan peladangan negeri ini disaran supaya berani meneroka produk serta industri baharu dalam meningkatkan pemasaran hasil produk masing-masing bagi menjana pendapatan lebih lumayan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Ternakan, Bantuan dan Kawalan Pencemaran di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.
Menurut Afif, beliau melihat bidang penghasilan susu kambing adalah antara sektor yang mampu diterokai dan dimajukan di negeri ini sebagaimana di Australia.
“Saya ada ke Australia baru-baru ini, dan kami (rombongan lawatan kerja) lihat di sana mereka mencipta keju daripada susu kambing.
“Jadi, tidak mustahil andai kata dalam pasaran antarabangsa kita boleh temui keju susu kambing ‘Made in Penang’ pula selepas ini.
“(Lagipun) kita perlu ada perubahan dalam penghasilan produk-produk tempatan…daripada 10 pembeli (pertama), sekurang-kurangnya lima (orang) mungkin suka dan akan melakukan pembelian berulang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.
Hadir sama, Pengarah JPV Negeri Pulau Pinang, Dr. Siti Salmiyah Tahir.
Selain itu, tambah Afif, ayam piru juga merupakan salah satu industri ternakan yang mampu membawa pulangan tinggi.
“Permintaan ayam piru sebenarnya tinggi, namun bekalan tidak cukup, dan selalunya kalau ada pun import… kalau datang musim perayaan, permintaan ayam piru adalah lebih berganda,” katanya yang turut dibawa melawat reban ayam piru tertutup di sini.
Walaupun reban tersebut hanya bersaiz kecil, difahamkan 300 ayam piru mampu dibela dalam satu-satu masa.