Penternakan ikan pari air tawar sebagai produk ekonomi kreatif

Admin

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa di Pulau Pinang terdapat pengusaha ternakan ikan pari air tawar yang dijalankan secara komersial sebagai penghias akuarium.

Walaupun harganya agak mahal sehingga ada yang melebihi RM20,000 seekor, namun ikan pari air tawar atau nama saintifiknya ‘Potamotrygonidae’ tetap mempunyai peminat yang tersendiri.

Selain memiliki warna yang cantik, bagi masyarakat Cina ikan pari air tawar ini juga dianggap sebagai satu simbul untuk mengekalkan kekayaan sedia ada.

KEPELBAGAIAN spesier ikan pari hiasan yang dipelihara.

Pengusaha tunggal penternakan ikan pari air tawar secara komersial di Pulau Pinang, LOW KHENG KEAT, 37, memberitahu bahawa ikan pari air tawar juga boleh dibiakkan sebagai ikan hiasan akuarium atau kolam di rumah seperti ikan arowana.

“Minat terhadap ikan pari air tawar bermula apabila saya mengunjungi seorang kenalan di Taiwan yang mana ketika itu saya terpesona apabila melihat beliau membela ikan yang unik ini di dalam akuariumnya.

“Kebetulan pada masa itu juga harga ikan arowana di pasaran mulai turun, jadi saya mula mencari alternatif lain.

“Pada masa itu juga masih tidak ada seorang pun di Malaysia yang menjalankan perniagaan penternakan ikan pari jenis ini secara komersial, dan sejak itu saya melihat potensi yang ada pada spesies ini.

“Ketika saya meminta nasihat daipada rakan saya, dia menyarankan agar saya membeli ikan pari dari Brazil kerana lebih berkualiti,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Keng Kheat, bermula dari minat tersebut beliau kemudiannya mula mempelajari lebih banyak mengenai ikan pari air tawar seperti kitaran hidup, keperluan air, tingkah laku serta makanan yang diperlukan.

Super White antara spesies ikan pari air tawar yang dijual pada harga yang tinggi.

Tambah beliau, menternak ikan pari bukanlah suatu pekerjaan yang mudah kerana ia memerlukan banyak peralatan selain perlu menghabiskan masa seharian untuk memastikan bahawa parameter kualiti air dalam keadaan baik khususnya daripada segi nilai pH air.

“Jangka hayat ikan pari adalah sekitar 30 tahun tetapi jika kita tidak tahu cara untuk menjaganya dengan baik, maka ia boleh mati dalam jangka masa setahun. Ikan pari sangat sensitif terhadap nilai pH dan memerlukan air tawar.

“Biasanya, pelanggan-pelanggan saya sudah mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini tetapi jika pembeli adalah pemula, maka saya akan memberi petua bagaimana untuk menjaga ikan ini dengan betul,” ulasnya.

Low Kheng Keat merupakan pengusaha tunggal penternakan ikan pari air tawar secara komersial di Pulau Pinang.

Keng Kheat menyatakan bahawa harga ikan pari yang dijual termasuk melalui Facebook adalah antara RM2,000 hingga RM20,000 bergantung kepada spesies dan corak pada kulitnya.

“Pada masa ini, kedai saya mempunyai lebih 200 ekor ikan pari daripada lima spesies iaitu Super White, Super White Hybrid, Black Diamond, Marble dan Albino.

“Daripada lima spesies ini, spesies yang paling mahal adalah ikan pari air tawar jenis Super White kerana corak kulitnya yang cantik,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang turut hadir dalam sesi temubual itu menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar membantu penternak yang terlibat dalam industri unik ini.

“Seperti yang kita ketahui, Encik Low (Keng Kheat) merupakan satu-satunya penternak ikan pari air tawar di negeri ini, jadi ada baiknya untuk Kerajaan Negeri membantu beliau untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.

Goh Choon Aik.

“Ini adalah sebahagian daripada produk ekonomi kreatif yang berpotensi untuk dikembangkan, dan saya percaya sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini dan memerlukan bantuan kewangan harus dibantu,” sarannya.

Sebagai tambahan, Choon Aik turut menyarankan agar Kerajaan Negeri menganjurkan pameran atau pertandingan untuk memperkenalkan ikan pari air tawar secara meluas kepada masyarakat khususnya penggemar-penggemarnya.

“Setahu saya, pameran atau pertandingan seperti ini tidak pernah diadakan di negara ini, oleh itu, adalah sesuatu yang sangat menarik untuk melihat Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menganjurkannya.

“Usaha ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi industri pelancongan domestik kerana masih ramai orang yang belum pernah mendengar tentang ikan pari unik ini.

“Saya percaya perniagaan ikan pari air tawar ini boleh dipromosikan sebagai salah satu daya tarikan pelancong di negeri ini khususnya di kawasan Sungai Bakap dan Bukit Tambun,” tambahnya.

Difahamkan, perniagaan yang diusahakan Keng Kheat sejak 10 tahun lalu berjalan lancar sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD