GEORGE TOWN – Tahap kesedaran masyarakat umum di Malaysia mengenai kesihatan buah pinggang masih berada pada tahap rendah meskipun jumlah mereka yang mengidapi penyakit buah pinggang kronik (CKD) meningkat.
Ketua Jabatan Nefrologi (Perubatan) Hospital Pulau Pinang, Dato’ Dr. Liew Yew Fong berkata, jumlah pesakit buah pinggang meningkat saban tahun disebabkan oleh amalan gaya hidup tidak sihat.
Saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun amat penting untuk mengetahui tahap kesihatan tubuh badan kita terutama mereka yang berisiko tinggi.
“Penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit yang boleh mendatangkan beban bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga ahli keluarga.
“Malah, implikasinya turut dirasai oleh masyarakat sekeliling dan juga negara dari segi sosioekonomi,” ujarnya.

Beliau yang ditemui usai Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di Auditorium Komtar di sini, hari ini, turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan buah pinggang.
Jelasnya, buah pinggang merupakan antara organ manusia yang sering diabaikan sehinggalah timbul masalah yang kronik.
“Oleh itu amat penting untuk menjalani saringan kesihatan atau paling tidak saringan air kencing yang boleh mengesan sama ada pesakit mempunyai disbetes atau tidak atau risiko penyakit kronik lain.
Tambahan pula, penyakit diabetes merupakan punca kepada penyakit-penyakit lain seperti strok, penyakit jantung…dan Malaysia adalah antara negara yang mempunyai pesakit diabetes yang tinggi.
“(Dan) pada masa yang sama menganjurkan sambutan seperti hari ini untuk meningkatkan kesedaran masayarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. R. Premalosini semasa berucap memaklumkan bahawa sejumlah 15.5 peratus daripada populasi rakyat Malaysia menghidapi penyakit buah pinggang.
“(Dan) daripada jumlah tersebut hanya 5 peratus sahaja yang menyedarinya.
Penyakit buah pinggang kebiasaanya tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah keadaan menjadi serius.
“Oleh itu, penting untuk melakukan saringan secara berkala, mengekalkan pengambilan makanan yang sihat, kekal aktif dan tidak merokok sebagai langkah penjagaan kesihatan termasuk buah pinggang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Premalosini menyeru sesiapa yang inin membuat saringan kesihatan, boleh ke mana-mana klinik kesihatan, klinik panel atau swasta yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
“Mereka juga boleh ke mana-mana klinik kesihatan yang mana saringan kesihatan adalah percuma termasuk penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40),” katanya lagi.

Bertemakan “Adakah buah pinggang anda OK?” (Are Your Kidneys OK?), sambutan hari buah pinggang pada hari ini turut memfokuskan saringan air kencing dan kesihatan.
Selain itu, antara pengisian lain adalah senaman, ceramah kesihatan, pameran kesihatan, sesi kaunseling dan sesi perkongsian pesakit buah pinggang yang telah menjalani transplan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN