Penubuhan CCPSS disambut baik

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Kesedaran Jenayah & Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.

Delegasi seramai lima orang itu diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu membincangkan beberapa perkara berkaitan latar belakang serta aktiviti dijalankan pihak persatuan kepada komuniti di negeri ini.

Beberapa isu dibangkitkan oleh CCPSS dalam pertemuan bersama Ketua Menteri sebentar tadi.

Mohamad Anil Shah menjelaskan bahawa CCPSS telah didaftarkan secara rasminya pada Oktober lalu dan telah menjalankan beberapa program kesedaran mengenai jenayah serta keselamatan awam.

“Pada masa sama, CCPSS juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang berhubung penganjuran beberapa program bersama-sama pihak sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) terpilih,’’ ujarnya di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyambut baik penubuhan CCPSS yang merupakan sebuah organisasi berasaskan komuniti yang mana program-program dilaksanakan bakal memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Goh Hoe Eng; Setiausaha, Jarmy Goh; Bendahari, Ooi Say Chong dan Ahli Jawatankuasa, Teoh Hong Chin.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS