Penubuhan PIDL, Al-Hady Centre serlah komitmen Kerajaan Negeri martabat umat Islam

Admin

GEORGE TOWN – Penubuhan Perpustakaan Digital Islam Pulau Pinang (PIDL) dan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang, Al-Hady Centre menyerlahkan lagi komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan kedudukan umat Islam di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata Kerajaan Negeri saling bekerjasama dengan KITAB (Kolej Islam Teknologj Antarabangsa Pulau Pinang) bagi mengendalikan kedua-dua institusi baharu tersebut.

“Bagi merealisasikan mercu tanda pendidikan Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersamam-sama dengan KITAB telah menubuhkan PIDL dan Al-Hady Centre,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti semasa sesi ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 2 Jun 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal turut memaklumkan bahawa penubuhan PIDL di bawah kendalian KITAB akan menjadi platform terbaik bagi menyalurkan ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang terutamanya Sains keislaman kepada seluruh masyarakat dalam bentuk Digital.

“Di samping itu, PIDL tentunya menjadi saluran terbaik dalam memperkasa aspirasi Kerajaan Negeri serta meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti ke arah melahirkan ‘komuniti pintar’ selain membangunkan masyarakat berilmu,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Penjelasan Ahmad Zakiyuddin itu sekali gus menyerlahkan lagi usaha Kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan selama ini dalam memartabatkan kedudukan umat Islam dan institusi-institusi berkaitan di Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD