GEORGE TOWN – Penubuhan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) adalah satu langkah proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menarik penyertaan masyarakat terhadap hal berkaitan kesihatan.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa dalam tempoh beberapa tahun ini, pelbagai aktiviti di bawah PPKK telah dijalankan.
“Banyak pengalaman telah diperoleh melalui aktiviti bersama masyarakat yang telah dilaksanakan dan diharapkan PPKK dapat meningkatkan semangat ahli panel penasihat untuk terus menyumbang bakti.
“Ia juga memberi gambaran jelas mengenai usaha yang dilakukan dalam pelaksanaan aktiviti kesihatan bagi mewujudkan komuniti yang lebih sihat,” ucapnya dalam Konvesyen PPKK Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib; Dr. Marina Kamarudin (Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Bahagian Kesihatan Awam) dan Dr. Nailul Murad Mohd. Nor (Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Pulau Pinang).
Asmayani dalam ucapannya memberitahu bahawa PPKK telah pun dilancarkan sejak tahun 1995 bagi menyediakan perhubungan dua hala yang berkesan serta erat antara anggota kesihatan dan wakil-wakil masyarakat.
“Sehingga kini terdapat 31 buah PPKK di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Ahli panel penasihat ini memainkan peranan penting dalam membantu anggota kesihatan menjayakan lagi aktiviti-aktiviti yang kurang mendapat sambutan masyarakat.
“Ahli panel juga menjadi nadi penghubung antara komuniti dengan klinik kesihatan dalam menangani masalah kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit,” katanya lagi.
Pada penganjuran konvensyen berkenaan dua pemenang PPKK bagi kategori lisan dan poster turut diumumkan.
PPKK kategori poster dinobatkan kepada Klinik Kesihatan Butterworth, manakala Klinik Kesihatan Seberang Jaya diumumkan sebagai PPKK bagi kategori lisan sekaligus melayakkan klinik berkaitan mewakili negeri Pulau Pinang ke konvensyen di peringkat kebangsaan nanti.
Pemenang masing-masingnya membawa pulang wang tunai RM500, sijil penyertaan dan piala iringan.
Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD