Penuhi hasrat penduduk, Kerajaan Negeri naik taraf gelanggang bola keranjang Taman Gamelan Indah

Admin
img 20240503 wa0021

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM528,957 bagi membina struktur berbumbung gelanggang bola keranjang dan kerja-kerja berkaitan di Taman Gamelan Indah dekat sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan projek tersebut adalah bagi memenuhi hasrat penduduk setempat sebagaimana yang dibangkitkan dalam siri jelajah ‘LovePENANG’ sebelum ini.

“Dalam memastikan Visi Penang2030 untuk melahirkan Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjadi satu kenyataan, usaha meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti hidup warga negeri merupakan antara aspek paling penting yang perlu diberikan perhatian khusus.

img 20240503 wa0008

img 20240503 wa0022

img 20240503 wa0020

img 20240503 wa0006

img 20240503 wa0016

img 20240503 wa0014

“Maka, pembinaan struktur berbumbung gelanggang bola keranjang ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri serta penduduk setempat di sini yang mana secara tidak langsung dapat melahirkan sebuah komuniti yang sihat, mampan serta bahagia.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan semua pihak yang terlibat kerana berjaya merealisasikan permintaan rakyat di kawasan ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Gelanggang Berbumbung Taman Gamelan Indah sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad dan Pegawai Daerah & Tanah Daerah Seberang Perai Selatan, Khairulnizam Hashim.

Pada masa sama, Kon Yeow berharap agar kemudahan tersebut dapat digunakan dan dipelihara dengan baik oleh penduduk setempat.

“Semoga kemudahan ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warga di sini,” katanya.

Sementara itu, Azhar menyatakan bahawa kerja-kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang Taman Gamelan Indah kini telah mencapai 90 peratus dan akan siap sepenuhnya pada 26 Mei ini.

“Gelanggang ini sudah boleh digunakan kerana kerja-kerja masih belum selesai hanya melibatkan pemasangan pagar dan mengecat lantai yang mana ia tidak akan mengganggu aktiviti yang ingin dilakukan di sini,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SIEW CHIA EN