Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD
KUIH tradisional putu kacang bukan hanya terkenal dalam kalangan masyarakat berketurunan Cina, malah, ia turut menjadi sajian utama menjelang Hari Raya dan juga kenduri-kenduri kahwin.
Kebiasaannya, kacang hijau yang menjadi bahan asas dikisar menggunakan mesin berbanding kaedah zaman dahulu kala menggunakan penumbuk kayu atau lebih dikenali sebagai lesung kaki.
Walaupun ditelan zaman, ruangan jalan-jalan Buletin Mutiara (BM) berjaya menjejaki pengusaha kuih putu kacang yang masih mempratikkan penggunaan kaedah tradisional berkenaan.
Bertempat di Kampung Permatang Jagus, Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), Halimah Hasan, 57, ataupun lebih dikenali sebagai Kak Yah menyatakan bahawa penggunaan kacang hijau dikisar adalah lebih kering dan rasanya tidak sedap seperti yang ditumbuk.
“Kacang yang ditumbuk lebih sedap dan tidak kering sangat,” jelas Kak Yah ringkas pada sesi wawancara di kediamannya baru-baru ini.
Katanya, sebelum ditumbuk, kacang hijau perlu terlebih dahulu dibasuh kemudian disejat hingga kering. Selepas ditumbuk, ia perlu diayak dan kemudian dicampurkan dengan gula.
Kah Yah memberitahu, resipi kuih putu kacang keluarannya adalah diwarisi daripada Toknya. Malah, didorong oleh minat, beliau mula belajar membuat kuih ketika berusia belasan tahun.
“Tok buat masa Raya untuk anak-beranak makan.
“Bila mak dah tak larat nak buat, akak cuba buat sekadar suka-suka dan makan sekeluarga. Namun, apabila orang lain tengok dan cuba, mereka kata elok dan minta akak jual,” jelas Kak Yah sebelum terlibat secara langsung dalam perusahaan tersebut sehingga kini.
Mengulas lanjut, Kak Yah menyatakan bahawa pada peringkat permulaan, kuih dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.
Walaupun permintaan kian meningkat kini, beliau yang dibantu suaminya, Ramli Abdullah, 63, tidak mampu menghasilkan jumlah kuih yang banyak ekoran tenaga kerja terhad menggunakan teknik tradisional bagi mengekalkan keasliannya.
“Dengan bantuan suami, pengeluaran kuih masih lagi terhad kepada kira-kira 500 biji kuih dalam sehari.
“Sekiranya tak sempat, akak terpaksa tolak tempahan,” ujarnya yang dikurniakan tiga cahaya mata.
Baginya, pasaran kuih adalah tidak menjadi masalah.
“Publisiti ‘dari mulut ke mulut’ banyak membantu dalam perniagaan saya.
“Faktor utama adalah kualiti produk yang sentiasa terjamin,” katanya ramah.
Dalam pada itu, Kak Yah menjelaskan bahawa cabaran utama dalam pembuatan kuih tersebut adalah proses menumbuk kacang ekoran ia menggunakan banyak tenaga dan tidak boleh dilakukan sekiranya terdapat kecederaan pada bahagian kaki.
Bagi perancangan masa depan, Kak Yah berharap mendapat bantuan mesin penghancur kacang bagi memudahkan bahan tersebut ditumbuk memandangkan faktor usia beliau dan juga suaminya yang semakin lanjut.
INFO :
04 – 576 3552