Penutupan jalan sempena Larian Obor APMG 2018

Admin

GEORGE TOWN – Beberapa laluan di sekitar George Town akan ditutup kepada semua jenis kenderaan bersempena majlis pelancaran Larian Obor Asia Pacific Masters Games (APMG) 2018 yang akan berlangsung pada 8 dan 9 September ini.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, laluan yang terlibat adalah Jalan Padang Kota Lama dan sebahagian Jalan Tun Syed Sheh Barakbah.

“Selain itu, turut ditutup adalah laluan di Lebuh Light, Jalan Masjid Kapitan Keling, Jalan Kampung Kolam, Lebuh Carnarvon, Jalan Magazine, Jalan Datuk Keramat, Lorong Kulit, Persiaran Stadium serta Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

“Jalan-jalan ini akan ditutup bermula jam 12.01 pagi pada 8 September hingga 11 pagi keesokan harinya (9 September).

“Simpang masuk ke Lorong Kulit juga turut ditutup selain terdapat beberapa persimpangan akan dikawal oleh anggota polis untuk memberi laluan kepada para peserta larian,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. Addnan Mohd, Razali; Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Pegawai Eksekutif APMG Pulau Pinang, Linda Geh; Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akhbar Mustafa dan ramai lagi.

Sementara itu, wakil Rapid Bus, Mohd. Rofeezal Md. Hashim menyarankan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan Bas Percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan kesesakan jalan sepanjang program berlangsung.

“Semua perkhidmatan Bas Percuma CAT ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN