GEORGE TOWN – Usaha Kerajaan Negeri bagi menyelamatkan penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption masih diteruskan hasil pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dengan Pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.
Menyampaikan hasrat sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap supaya pihak kementerian berkaitan di peringkat Pusat masih membuka pintu rundingan berhubung hal berkenaan.
“Kini saya menyeru supaya KPM agar membuka pintu rundingan dan prihatin terhadap rayuan yang dibuat oleh ibu bapa dan Persatuan Bekas Pelajar sekolah tersebut.
“Sebelum ini, SK Assumption yang sudah beroperasi selama 90 tahun telah diarahkan tutup pada 30 Mac lalu berikutan pemilik tanah meminta supaya tapak sekolah tersebut dikembalikan.
“Pihak Kerajaan Negeri yang diwakili Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy merangkap Exco bertanggungjawab terhadap pendidikan telah pun berbincang dengan pemilik tanah dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), akan tetapi rundingan tersebut tidak membuahkan hasil dan keputusan untuk penutupan sekolah masih berkuat kuasa seperti diumumkan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Replika Cek Kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Persendirian Cina Tahun 2022 dekat Komtar di sini tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga ADUN Padang Lalang, Chong Eng; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.
Pada majlis berkaitan, Kon Yeow mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.188 juta kepada kepada 12 SMJK, Sekolah Mubaligh (18) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (5) untuk tahun 2022 yang mana pengagihan bantuan adalah mengikut keperluan dan permohonan oleh pihak sekolah.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD