GEORGE TOWN – Pelaksanaan projek berimpak tinggi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tiram di Kampung Naran, Bayan Lepas merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mengatasi kejadian banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pihak Kerajaan Negeri bersama-sama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sentiasa komited dalam memastikan LTAPP berada pada tahap terbaik dan memastikan fasiliti berkaitan ditambah baik demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Penyelesaian jangka panjang (RTB Sungai Tiram) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah bagi mengurangkan risiko banjir di sekitar kawasan Kampung Naran dan berdekat LTAPP.
“(Malah, pihak MAHB telah membina dua tangka On-Site Detention (OSD) pada 2015 yang berkapasiti 264 meter padu (m³) dan 190m³, bertindak sebagai takungan penampan untuk menyimpan aliran permukaan (surface run-off) ketika hujan dan melepaskan ke sistem saliran terbuka selepas hujan berhenti.
“MAHB juga menaik taraf sistem pam di kawasan apron pesawat dan turboprop serta meninggikan paras lantai bangunan terminal di kawasan tersebut pada 2018 dan terbukti berkesan apabila kawasan tersebut tidak dinaiki air lagi ketika hujan lebat.
“(Dan) pada 2019, MAHB membina satu lagi tangki OSD dengan saiz takungan 1,200m³ yang dibina serentak dengan projek tempat letak kereta bertingkat dan selesai pada September 2022,” ujarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat Belas di sini pada 22 November 2022.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga turut memaklumkan bahawa pihak MAHB sedang merangka pelan pengaliran air hujan dari longkang ke pam bah (sum pump) ke tangki OSD.
Proses untuk mereka sistem ini masih dalam tindakan pihak MAHB dan dijangka akan dapat digunakan menjelang suku pertama 2023.
“Malah, pihak MAHB sedang dalam proses merangka reka bentuk sistem tangki OSD yang lebih besar untuk menampung curahan air hujan yang berintensiti tinggi.
“Pelan ini akan dimasukkan ke dalam perancangan National Airport Master Plan (NAMP) oleh MAHB bagi LTAPP,” jelasnya bagi menjawab soalan yang diajukan secara lisan oleh ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah di sini.
Terdahulu, Zairil memberitahu bahawa berdasarkan rekod daripada MAHB, LTAPP telah mengalami banjir kilat sebanyak tiga kali iaitu pada 28 Oktober 2018; 3 September 2019 dan 24 September 2022.
“Walau bagaimanapun, tiada penerbangan yang terjejas akibat banjir kerana hanya melibatkan sebahagian kawasan terminal sahaja dan LTAPP juga tidak ditutup akibat kejadian ini yang mana operasi penerbangan keluar masuk berjalan seperti biasa,’ katanya.
Bercakap mengenai pembesaran LTAPP, Zairil berkata adalah relevan pembesaran LTAPP dilaksanakan bagi menyokong perkembangan ekonomi di Pulau Pinang serta menampung jumlah penumpang yang meningkat saban tahun.
Walau bagaimanapun, perancangan rapi perlu seperti pembinaan RTB dan lain-lain infrastruktur bagi memastikan kejadian tidak diingini seperti banjir kilat dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Cadangan pembesaran kelak akan turut melibatkan kajian sistem saliran dan peparitan yang mana pada masa sama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan MAHB serta agensi-agensi dan pemegang taruh berkaitan kini sedang bekerjasama untuk membolehkan satu reka bentuk mampan dalam merealisasikan pembesaran LTAPP,” hujahnya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI