Penyertaan City Ride Goes Eco @ Balik Pulau 2020 kini dibuka, terhad kepada 1,000 peserta

GEORGE TOWN – Program City Ride Goes @ Balik Pulau kembali lagi untuk edisi kali ke-5 pada 5 Januari 2020 dekat Balik Pulau.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama G Club Penang Cyclist bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di samping menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Berbasikal selaras dengan slogan Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat.

“Kayuhan akan bermula dari jam 8.00 pagi dari Kompleks Sukan Balik Pulau dengan jarak sejauh sejauh 32 kilometer (km) yang mana akan akan dibawa melalui sekitar kawasan sekitar Balik Pulau yang terkenal sebagai lokasi ekopelancongan.

“Justeru, para peserta berpeluang menikmati pemandangan hijau di sepanjang laluan merentasi sawah padi dan denai-denai,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Presiden Persatuan G Club Penang Cyclist, Dato’ Dr. Lim Sei Guan; Ahli-Ahli majlis bagi MBPP; ketua-ketua jabatan serta ahli jawatankuasa pengelola program.

Mengulas lanjut, Tung Seang memberitahu bahawa penyertaan kini telah dibuka dan hanya terhad kepada 1,000 peserta sahaja.

“Pendaftaran dibuka sehingga 31 Oktober ini dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web howei.com dengan yuran penyertaan sebanyak RM15.00 sahaja,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG