Penyertaan JKSNPP jayakan agenda ‘Khaira Ummah 2030’ dihargai – TKM1

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) diiringi YAA Muhamad Abdul Karim Wabab (kanan) menyampaikan cenderamata kepada YA Mohamad Shakir Abdul Hamid (kiri) di sini, semalam.

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memuji usaha Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) selama ini dalam memartabat kedudukan institusi Mahkamah Syariah negeri.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti itu lagi, inisiatif JKSNPP itu sekaligus turut menyumbang pada usaha menjayakan agenda ‘Khaira Ummah 2030’ yang sedang dipacu oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Khaira Ummah 2030 ini adalah suatu agenda yang kita rangka untuk kita sediakan generasi masa depan umat Islam Pulau Pinang dalam tempoh sedekad sehingga tahun 2030, yang selari dengan agenda Penang2030 yang digagaskan oleh Kerajaan Negeri.

“Untuk memastikan umat Islam di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa, menerusi agenda Khaira Ummah 2030 ini, dilaksanakan program kesedaran umat Islam serta meningkat peranan masjid-masjid ke arah melahirkan umat Islam terbaik (Khaira Ummah).

“Terima kasih kepada JKSNPP yang telah memberi kerjasama secara langsung dalam menjayakan agenda Khaira Ummah 2030 ini,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 18 Januari 2020, sempena meraikan bekas kakitangan JKSNPP yang telah bersara wajib, bersara dengan pilihan dan bertukar ke jabatan lain, serta para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Di samping itu, beliau turut memuji kejayaan JKSNPP sebagai satu-satunya agensi di bawah Kerajaan Negeri yang dipilih menyertai pertandingan pada Persidangan dan Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi (APIC) 2020 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Baginya, kejayaan Team Excellence (TE) JKSNPP membangunankan projek inovasi i-WATCH atau ‘Interactive Wakalah Technology Conference’ menyumbang pada usaha memartabatkan institusi kehakiman syariah di tanah air ini.

Difahamkan, i-WATCH adalah projek inovasi perkhidmatan yang memudahkan dan mempercepatkan proses berwakalah antara peguam syariah dan anak guam mereka, iaitu menerusi proses secara dalam talian.

YAA Muhamad Abdul Karim Wahab

Bercakap pada majlis sama, Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang, YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab dengan adanya bangunan baharu Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang dengan reka bentuk moden merupakan salah satu simbol usaha memartabatkan Islam dan kedudukan umat di negeri ini.

“Menerusi Jelajah Khaira Ummah 2030 yang dianjurkan di masjid-masjid, kita (JKSNPP) menyertai bersama-sama, kiosk perkhidmatan kita mendapat sambutan.

“Sebenarnya orang awam berminat nak tahu mengenai bentuk perkhidmatan yang ada di JKSNPP selain proses perbicaraan mahkamah syariah.

“Orang awam mungkin tidak selesa untuk pergi ke mahkamah syariah, tetapi dengan adanya kiosk JKSNPP sempena penganjuran Jelajah Khaira Umnah 2030 ini, mereka lebih santai walaupun perbincangan masih sekitar isu kekeluargaan Islam umpamanya,” jelasnya.

Justeru, menerusi acara jelajah Khaira Umnah 2030 ini, beliau berharap JKSNPP dapat menyemarak lagi kesedaran syariah dalam kalangan komuniti setempat.

“Kita mahu institusi mahkamah syariah ini dilihat sebagai simbol mencari perdamaian, memberi hak kepada yang berhak serta meninggikan lagi syiar Islam,” jelasnya lagi.

Turut serta, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YA Dato’ Mohamad Shakir Abdul Hamid; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, YA Zawawi Noor; Ketua Pendaftar JKSNPP, Hasniah Hassan; dan wakil Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) JKSNPP, Jasmin Ismail.

Mohamad Shakir yang juga bekas Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang merupakan antara lapan individu yang diraikan dalam majlis jamuan makan tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB