Penyewa PPR boleh mohon lanjutan tempoh huni tiga tahun tambahan, respons Exco

Admin
img 9762 S. Sundarajoo

GEORGE TOWN – Penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berpendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan masih boleh memohon untuk mendiami unit kediaman sama selama tiga tahun lagi untuk dipertimbang oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 Mei 2024.

“Kerajaan Negeri sedia menyewakan rumah ini kepada kategori sedemikian (iaitu golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah, B40) selama tiga tahun dengan harapan besar status ekonomi keluarga itu boleh meningkat dalam tempoh tiga tahun.

“Jika tidak dapat, mereka boleh mohon (menyewa PPR) untuk tempoh tiga tahun lagi.

“Kita (Kerajaan Negeri dan LPNPP) berharap dalam tempoh tiga tahun tambah tiga tahun lagi itu, status ekonomi mereka dapat ditingkatkan,” jelasnya yang juga ADUN Perai.

img 9764
PHEE Syn Tze

Dalam sesi soalan lisan, Syn Tze memberitahu bahawa bermula 1 Mei 2022, Kerajaan Persekutuan telah menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada semua majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih.

Berdasarkan garis panduan penguatkuasaan tersebut, beliau bertanya sama ada Kerajaan Negeri bercadang meminda sebahagian syarat kelayakan menyewa rumah pangsa PPR yang menetapkan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,500.

“Sejak pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan, sudah pasti ramai (penyewa PPR) secara automatik tidak layak menyewa rumah PPR kerana telah melebihi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh LPNPP.

“Jadi, gaji sedia ada pun (B40) tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga walaupun suami dan isteri bekerja, apakah cadangan serta usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan nasib golongan B40 ini dapat terus menyewa di PPR,” tanya beliau sambil mengesyorkan LPNPP meminda syarat kelayakan penyewaan PPR sedia ada.

Sundarajoo menjelaskan bahawa LPNPP ketika ini sedang melaksanakan Kajian Semula Had Penetapan Isi Rumah peringkat negeri.

“(Perkara ini) akan diteliti sepenuhnya sebelum ia diangkat kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk kelulusan.

“Sehingga tarikh 30 April 2024, sebanyak 940 orang berdaftar dan menunggu (tawaran) rumah jenis sewa (PPR),” jelasnya sambil memberitahu bahawa pihaknya sedang mengemas kini data pemohon menerusi Sistem Maklumat Perumahan (SMP).

Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui LPNPP menyasarkan untuk membekalkan sejumlah 220,000 Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang tahun 2030 di negeri ini yang mana 10 peratus atau 22,000 diagihkan secara Skim Sewa Beli (Rent-To-Own).

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB