GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang menjalankan bancian terhadap latarbelakang penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini bagi memastikan golongan terbabit adalah betul-betul layak mendiaminya unit-unit berkaitan.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, bancian dibuat berikutan beberapa aduan yang diterima berkaitan penyewa PPR yang telah melepasi syarat-syarat kelayakan menduduki, namun masih lagi menetap di rumah-rumah PPR.
“Salah satu syarat menduduki rumah PPR ialah pendapatan suami atau isteri tidak melebihi RM750 atau pendapatan isi keluarga adalah kurang daripada RM1,500 sebulan.
“Tetapi, dari aduan yang kita (Kerajaan Negeri) terima, terdapat penyewa yang memandu kereta mewah atau memiliki lebih dari sebuah kereta menetap di sana (PPR),” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.
Turut sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng.
Menurut Jagdeep, sehingga Julai lalu, tunggakan bayaran sewa dan penyelenggaraan melibatkan 8,093 unit rumah PPR (daripada 14,027 unit) di kelima-lima daerah mencecah RM14.16 juta dengan jumlah kutipan semasa cuma RM448,388.28.
Beliau memberitahu, antara lain, ada dalam kalangan pengadu yang mendakwa terdapat penyewa PPR melanggani perkhidmatan televisyen berbayar, Astro.
“Mengikut perjanjian sewa antara Kerajaan Negeri dan penyewa PPR, mereka (penyewa) tidak dibenarkan memasang Astro dan ini amat mengecewakan kerana mereka (penyewa) sanggup memilih untuk tidak membayar sewa dan penyelenggaraan sebaliknya membayar bil Astro.
“Oleh itu, sebagai langkah drastik, penyewa PPR yang ingin memasang Astro kini diminta untuk memohon kebenaran pemasangan daripada kita (Kerajaan Negeri) dan kita (Kerajaan Negeri) akan beri kebenaran sekiranya mereka (penyewa) tidak mempunyai tunggakan bayaran atau telah melangsaikan tunggakan sewa serta penyelenggaraan.” tegas beliau.
Tambahnya, Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkenaan kerana masih terdapat individu yang lebih layak menduduki rumah PPR berbanding sesetengah penyewa yang telah melepasi syarat-syarat kelayakan menduduki.
“Kadar sewa tidak banyak hanya RM100 sebulan dengan RM20 untuk penyelenggaraan dan penyewa perlu faham bahawa bayaran penyelenggaraan perlu dijelaskan kerana ia untuk menjaga bangunan dan kemudahan-kemudahan lain seperti tangki air dan lif.
“Kita telahpun menghantar notis kepada penyewa PPR dan kita akan susuli dengan bancian kelayakan seterusnya mengambil tindakan secara berkala bagi memastikan keberkesanan kutipan sewa dan penyelenggaraan,” ujarnya yang berharap agar penyewa PPR di negeri ini memberi kerjasama sepanjang proses bancian dijalankan.