Penyu tempayan dilepaskan semula ke laut

Admin

BAYAN LEPAS – Seekor penyu spesis ‘Loggerhead’ atau dikenali sebagai penyu tempayan pagi ini dilepaskan semula ke laut setelah menerima rawatan pemulihan oleh Jabatan Perikanan Pulau Pinang (JPPP).

Menurut Pengarah Perikanan JPPP, Noraisyah Abu Bakar, penyu tersebut dijumpai pada 7 September lalu ketika haiwan vertebrata tersebut dipercayai tersangkut pada pukat hantu dekat perairan Pulau Kendi, di sini oleh seorang nelayan.

“Nelayan tersebut pada mulanya melepaskan kembali penyu ini ke laut, namun mendapati ia tidak mampu berenang dengan baik akibat kecederaan, lalu pasukan dari JPPP telah dimaklumkan dan mengambilnya untuk dirawat di Batu Maung.

“Sebenarnya spesis Loggerhead ini bukanlah dari perairan Malaysia dan ia merupakan spesis terancam dipercayai berasal dari Lautan Mediterranean, Atlantik, Pasifik ataupun Hindi.

“Saya percaya ia datang ke perairan Pulau Kendi ini bagi mencari makanan di kawasan ini ekoran banyak tukun tiruan di sini,” ujar beliau kepada pemberita selepas majlis pelepasan penyu di sini pagi ini.

Penyu seberat kira-kira 60kilogram (kg) yang dianggarkan sudah mencapai usia dewasa itu mempunyai ukuran 111 sentimeter (sm) panjang (cangkerang) dan ukur lilit kepala (17sm) dilepaskan dekat pantai Pasir Belanda, Teluk Kumbar.

Pelepasan turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz,  ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, penduduk tempatan dan kanak-kanak dari Tabika KEMAS Pasir Belanda.

Dalam menjaga kemandirian spesis penyu, Noraisyah menasihatkan agar orang ramai tidak membuang sampah seperti plastik mahupun penyedut minuman plastik ke dalam laut yang boleh menjadi ancaman kepada haiwan tersebut.

“Penyu melihat plastik seperti obor-obor, apabila dimakan ianya tidak dapat dicerna dan penyu tersebut akan hilang selera makan dan seterusnya mati,” tegasnya lagi.

Difahamkan, sebelum ini, lokasi sama (pantai Pasir Belanda) turut mencatatkan beberapa kali pendaratan dan penetasan anak penyu.

“Justeru sekiranya ada nelayan atau orang awam yang terjumpa penyu di mana-mana, kami harap mereka dapat maklumkan kepada JPPP untuk direkodkan,” tambahnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD