Peralihan bas EV, tambah perkhidmatan DRT antara topik perbincangan

Admin
img 20241004 wa0013

GEORGE TOWN – Peralihan bas berenjin diesel ke kenderaan elektrik (EV) mulai tahun 2025 dan penambahan perkhidmatan Demand Rapid Transit (DRT) merupakan antara perkara yang dibincangkan pada sesi kunjungan hormat delegasi pengurusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid) ke atas Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

 

Delegasi diketuai, Pengerusi Rapid, Datuk Seri Mustafar Ali dengan diiringi Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Operasi Rapid, Ku Jamil Zakaria.

 

Hadir sama, Ketua (Wilayah Utara) Rapid, Ahmad Shabuddin Abdullah; Ketua MRT Feeder Rapid, Amir Abdul Halim; Ketua Komunikasi Kumpulan Prasarana, Adli Abdul Karim dan Ketua Komunikasi (Bas), Tengku Azrawati Tengku Arshad.

 

Pengarah Urusan Think City, Dato’ Hamdan Abdul Majeed; Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hong Meng serta wakil dari Unit Pengangkutan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Exco Pengangkutan antara yang turut serta dalam perbincangan berkaitan.

 

img 20241004 wa0014
PERBINCANGAN melibatkan Ketua Menteri dan pihak pengurusan Prasarana dan Rapid di Komtar.

 

Pada pertemuan itu, pembentangan oleh Mohd. Azharuddin turut menyentuh mengenai sejarah penubuhan Prasarana, pengoperasian serta perancangan masa depan syarikat tersebut yang mahu pengembangkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas di Pulau Pinang.

 

Menurut beliau, setakat hari ini, Rapid mempunyai 306 bas di 49 laluan dengan tujuh depoh dan 586 kapten bas di negeri ini yang mana jumlah penumpang menunjukkan trend peningkatan pasca pandemik.

 

Bagi tahun hadapan, pihak kami ingin menambah baik perkhidmatan DRT ke laluan baharu dan laluan bas ke kawasan luar bandar, meluaskan jaringan kerjasama termasuk peralihan bas ke bas elektrik (EV).

 

“Mengenai bas elektrik, ia akan dibuat secara berfasa yang mana Fasa 1 membabitkan 50 buah pada tahun hadapan dan 25 buah lagi menjelang tahun 2026.

 

“Manakala Fasa 2A dan 2B akan dilaksanakan menjelang 2027 dengan 145 buah bas elektrik dan tahun 2030 (90),” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow serta pentadbiran Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan atas kerjasama yang amat baik selama ini.

img 20241004 wa0016
KETUA Menteri berharap penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam lebih efisien apabila Projek LRT Laluan Mutiara siap kelak.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri akan meneruskan kerjasama dengan pihak Prasarana dan Rapid termasuk dalam memastikan integrasi laluan yang efisien setelah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara direalisasikan kelak.

 

“Bukan mudah, banyak cabaran dalam memastikan sektor pengangkutan awam yang efisien terutama apabila mahu melaksanakan sesuatu pembaharuan.

 

Pada pandangan saya, sejak 16 tahun lalu, perkhidmatan Rapid di Pulau Pinang bertambah baik dan banyak lagi ruang perbincangan yang boleh dilakukan terutama apabila (LRT) Laluan Mutiara siap.

 

“Saya harap pada masa hadapan perkhidmatan yang ditawarkan akan dapat melengkapkan jaringan sistem pengangkutan awam di negeri ini,” ujarnya.

 

Sebelum akhir pertemuan, Kon Yeow menzahirkan ucapan tahniah dan maju jaya kepada Ahmad Shabuddin yang akan bertukar ke tempat baharu nanti.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SIEW CHIA EN