AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya akan terus memberi perhatian kepada pelbagai peranan hakiki yang selama ini dimainkan oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) demi kepentingan rakyat terutama komuniti India di negeri ini.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Penyimpanan Mayat India di Plot A Seksyen 2 Bandar Air Itam dekat sini pada 2 Disember 2022.
“Tujuan HEB ditubuhkan adalah untuk memperkasa komuniti India, ia ditubuhkan lebih 100 tahun dahulu.
“Kerajaan Negeri akan terus peka dengan peranan yang dimainkan oleh lembaga ini iaitu sebagai pengantara komuniti dengan Kerajaan dalam perkara berkaitan masyarakat India di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif daripada jawatankuasa HEB yang cukup prihatin dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk penyediaan lebih banyak tempat penyimpanan mayat dan tempat upacara yang dikenali sebagai ‘karumakiriyai’ khusus bagi masyarakat berketurunan India di negeri ini.
“Pusat Penyimpanan Mayat Hindu ini bukan sahaja khusus kepada penganut agama berkaitan, malah juga bukan penganut agama Hindu terutama untuk masyarakat Cina juga yang mana kemudahan pengurusan mayat sedia ada mereka juga adalah tidak mencukupi.” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 2 Disember 2022.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa HEB akan membelanjakan hampir RM302,000 bagi membina bangunan tersebut dalam tempoh dua hingga tiga bulan di atas tapak tanah seluas 1,873 kaki persegi, dengan kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi menyatakan bahawa HEB turut bertanggungjawab dalam soal pendidikan dan kebudayaan berkaitan komuniti India di negeri ini.
Menurut beliau, setakat ini, HEB menguruskan tujuh tapak perkuburan Hindu di seluruh Pulau Pinang.
“Dalam rancangan masa depan, kami turut mempunyai pelan untuk menyediakan tempat bagi upacara karumakiriyai di Balik Pulau, Taman Bagan di Butterworth dan Nibong Tebal,” ujarnya yang juga ADUN Perai sambil merakamkan penghargaan kepada beberapa pihak lain yang banyak membantu HEB terutama dalam projek pembinaan bangunan penyimpanan mayat India di sini.
ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. P. A. Rajendran dan barisan Pesuruhjaya HEB turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NUR ATIKAH RAHMAT
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR