Peranan hakiki, pengorbanan PBS kepada masyarakat diiktiraf Kerajaan Negeri – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (kiri) dan Nga Kor Meng (kanan) saling menyantuni semasa Majlis Perasmian Bangunan Baru Balai Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Taman Sukun Bukit Mertajam di sini pada 23 Jun 2023.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan menyalurkan RM70,000 baki sumbangan yang diperlukan bagi melengkapkan projek pemajuan bangunan baru balai Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Taman Sukun Bukit Mertajam di sini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sumbangan tersebut adalah sebagai tanda Kerajaan Negeri yang selama ini senantiasa menyokong usaha serta peranan hakiki dan pengorbanan sekalian anggota PBS dalam berbakti kepada masyarakat lokal di Pulau Pinang.

“Beberapa bulan, tak sampai setahun, kita sekali lagi hadir di sini untuk menyempurnakan majlis (perasmian) PBS Taman Sukun.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) akan memperuntukkan RM70,000 untuk melengkapkan sumbangan supaya projek bernilai kira-kira RM370,000 ini dapat disempurnakan.

“Justeru, saya menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk menghargai pengorbanan yang dimainkan oleh PBS di kawasan masing-masing,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Baru Balai PBS Taman Sukun Bukit Mertajam pada 23 Jun 2023.

ACARA gimik perasmian dengan pemotongan reben di perkarangan depan bangunan baru balai PBS Taman Sukun Bukit Mertajam di sini tadi.

Difahamkan, Kon Yeow pada Julai tahun lepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pemajuan balai tersebut serentak dengan acara mengumpul sumbangan awam bagi merealisasikan projek tersebut.

Tidak sampai setahun, pada hari ini, Kon Yeow hadir sekali lagi bersama-sama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi menyempurnakan majlis perasmian pembukaan bangunan baru balai PBS tersebut.

Semasa berucap, Kon Yeow memberitahu Kor Ming bahawa beberapa tahun belakangan ini, Kerajaan Negeri memang memberi perhatian kepada program pembangunan dan pengembangan operasi PBS di negeri Pulau Pinang.

Sehingga kini, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya berjaya menyelesaikan status tanah dan isu penempatan 37 balai PBS yang aktif sekitar negeri ini, sama ada di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) atau (di atas) tanah Kerajaan Negeri dengan pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Dengan selesainya isu tanah (untuk penempatan balai-balai PBS), saya percaya mereka dapat beroperasi dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh kerana berjaya membantu 37 PBS negeri dalam mendapatkan status penempatan tanah secara sah di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji keprihatinan Kor Ming yang senantiasa membawa peruntukan Persekutuan semasa lawatan kerja ke Pulau Pinang.

“Kepada YB Menteri yang senantiasa memberi kegembiraan serta makna yang cukup besar kepada negeri Pulau Pinang… pada setiap kali lawatan kerja (Menteri ke Pulau Pinang), akan membawa projek-projek berjuta-juta ringgit.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) mengalu-alukan lawatan seterusnya,” seloroh Kon Yeow sambil menganggap keprihatinan Menteri berkenaan sebagai simbol hubungan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ kian erat.

NGA Kor Meng

Sebelum itu, Khor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Perak dalam ucapannya antara lain memberitahu bahawa kementeriannya mulai tahun ini meningkatkan kembali geran bantuan kewangan kepada semua PBS sebanyak RM3,000 setahun berbanding sebelum ini (RM1,500).

Dengan keahlian aktif PBS seramai 7,898 anggota di seluruh negara, menurut beliau, peningkatan geran bantuan kewangan kepada PBS itu membawa peruntukan sebanyak RM1.07 juta pihak Persekutuan.

Selain Boon Poh, hadir sama, Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong; Ketua Setiausaha Kemneterian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, YS Saadon Moktar.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS