BERTAM – Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam membina generasi baru yang mampu menjadi penyambung kepada nilai, budaya bangsa serta ketamadunan manusia
Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, menyedari hal itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri hijau dan pintar.
“Visi Penang2030 akan menjadi panduan serta hala tuju Kerajaan Negeri.
“Kita amat mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memantapkan institusi keluarga bagi meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan ibu bapa dalam menangani isu-isu kekeluargaan khasnya di Pulau Pinang,” katanya semasa berucap pada majlis penutup Forum Kitakan Keluarga: Membina Harapan Malaysia Baru Dalam Institusi Keluarga dekat Pusat Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pulau Pinang, di sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Dr. Florance Sinniah dan Pengarah LPPKN Negeri Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah.
Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang berkata, perkembangan pantas dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah gaya hidup yang secara langsung turut memberi impak negatif kepada institusi keluarga.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri sering menitikberatkan kepentingan keseimbangan masa antara keluarga dan kerjaya serta sentiasa menyokong pelaksanaan masa bersama anak-anak yang dilihat mampu mengurangkan gejala negatif.
“Bagi mencapai matlamat membina harapan Malaysia baru pula, ia turut memerlukan komitmen semua pihak termasuk jabatan dan organisasi Kerajaan Persekutuan seperti LPKKN serta pihak majikan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Azura dalam ucapannya sebelum itu menyatakan bahawa visi Penang2030 yang menekankan aspek kekeluargaan mampu menjadikan institusi keluarga di negara ini ke arah lebih baik dalam melahirkan generasi berwawasan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD