Peranan Timbalan Speaker bakal digalas sebaiknya – Azrul Mahathir Aziz

Admin

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, AZRUL MAHATHIR AZIZ telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 Jun lalu bagi menggantikan Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah.

Azrul Mahathir yang memenangi kerusi DUN Bayan Lepas selama dua penggal juga merupakan Naib Presiden II merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL berkesempatan menemu bual Azrul Mahathir untuk mengetahui visi dan misi beliau bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Mandat baharu

Menurut Azrul Mahathir, mandat yang telah dipertanggungjawabkan bakal dilaksanakan sebaiknya kerana ini merupakan kali pertama beliau memainkan peranan sebagai Timbalan Speaker DUN.

AZRUL Mahathir Aziz.

“Dengan mandat yang diwakilkan oleh rakyat untuk kepentingan mereka, saya berharap agar semua ADUN sentiasa memahami serta mematuhi peraturan mesyuarat dengan penuh berdisiplin dan berintegriti tanpa mengira fahaman politik.

“Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha untuk menjalankan tugas-tugas dan kewajipan sebagai Timbalan Speaker DUN dengan sempurna demi menegakkan perlembagaan negeri dan memastikan semua peraturan mesyuarat dipatuhi sebaiknya,” katanya sewaktu ditemui dekat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas baru-baru ini.

Tambah Azrul Mahathir, cabaran yang bakal dihadapi pada penggal baru ini agak berlainan dari sebelumnya kerana beliau hanya memainkan peranan sebagai seorang wakil rakyat sahaja.

“Cabaran pada kali ini barangkali dari segi mengawal persidangan yang sedang berlangsung ekoran kehadiran barisan pendatang baharu, diharapkan juga mereka berupaya menyesuaikan diri dengan cepat.

“Jika hanya menggunakan medium persidangan sebagai tempat bertelagah, ini bukan hanya merugikan rakyat malahan juga kepada sistem yang sedia ada, oleh itu guna waktu perbahasan sebaiknya dan jalankan tanggungjawab sebagai wakil kepada rakyat.

“Seperti sebelum ini, perjalanan persidangan juga berlangsung mengikut ketetapan yang sama baik dari segi soalan lisan, sesi perbahasan serta pembentangan usul.

“Dijangkakan bulan November ini DUN bakal berlangsung, jadi saya mengharapkan semua wakil rakyat komited memainkan peranan masing-masing dek setiap wakil rakyat merupakan simbolik wakil kepada rakyat untuk menyumbang sesuatu terhadap kawasan mereka,” ujarnya berharap semua pihak berupaya membantu Kerajaan Negeri menangani keperluan dan kehendak untuk mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan ini.

 

Peranan ADUN 

Dalam pada itu, Azrul Mahathir turut menekankan bahwa tanggungjawabnya sebagai ADUN Bayan Lepas tetap digalas dengan sebaiknya dan bersungguh-sungguh.

AZRUL Mahathir Aziz semasa meneliti permasalahan selaku ADUN Bayan Lepas.

“Walaupun telah dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN, saya tetap fokus dengan kerja hakiki iaitu sebagai ADUN bagi kawasan Bayan Lepas.

“Saya amat sayangkan kawasan ini, dan syukur rakyat masih memberi ruang dan peluang untuk saya terus berkhidmat dan komited membantu.

“Pernah juga ada rasa mengalah, akan tetapi dengan dorongan iltizam yang kuat terhadap rakyat, saya sentiasa cuba sedaya upaya mencari saluran yang tepat demi menyelesaikan setiap permasalahan yang ada,” ulasnya lagi.

Bagi Azrul Mahathir, cabaran dan halangan sudah tentu dihadapinya kerana tidak lengkap sesebuah tanggungjawab mulia tanpa sebarang rintangan.

“Jika ditanya soal kekangan, sudah tentu kedudukan kewangan menjadi antara salah satu faktor utama.

“Saya mengambil iktibar dari Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini bahawa bukan semua benda boleh diselesaikan segera, banyak peringkat yang perlu dilalui.

“Justeru, semua harus menjalinkan hubungan kerjasama semaksimum mungkin dan fahami kehendak rakyat, bagi saya hal-hal kebajikan bagi KADUN Bayan Lepas telah dicakna, tanggungjawab saya sebagai orang Islam juga bukan sahaja sebagai wakil rakyat.

“Hasrat saya sebagai ADUN sudah tentu menginginkan pembangunan infrastruktur di sini termasuk kemudahan pasar awam, ruang niaga untuk peniaga kecil, klinik kesihatan dan juga ATM.

“Kawasan Barat Daya juga mahukan perhatian dari Kerajaan Negeri dalam membangunkan kemudahan serta menjadikan kawasan ini sebagai sebuah lokasi agropelancongan,” jelasnya lanjut.

 

Harapan

Mengakhiri sesi wawancara, Azrul Mahathir turut memfokuskan perjalanan di DUN berupaya mencapai matlamat sebagai medium ADUN mewakili rakyat.

LAKSANA tugas sebagai ADUN, Azrul Mahathir Aziz komited selesaikan permasalahan rakyat.

“Kerajaan Negeri berfungsi mengadakan persidangan dengan lancar serta menjadikan dewan persidangan sebagai medium untuk melontarkan permasalahan rakyat.

“Manakala peranan sebagai seorang ADUN juga jangan dipandang remeh dek perlu mengetahui fungsi sebenar ADUN itu sendiri.

“Dari segi pengasingan kuasa, salur dana dari (Kerajaan Negeri) setakat mana, salur dana dari (Pusat) pula bagaimana dan mengambil masa, oleh itu elakkan di semasa bersidang semua benda permasalahan dituju terhadap Kerajaan Negeri sahaja. 

“Diharapkan sidang DUN dapat berfungsi dengan baik dalam mengemukakan segala permasalahan dan menyumbang kemaslahatan terhadap rakyat.

“Walaupun setiap orang berbeza pandangan politik, diharapkan jalinan kerjasama yang utuh dapat mengatasi isu negeri selaras dengan gagasan Visi Penang2030,” katanya menutup bicara.

 

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL