Peranan wanita dalam arus pembangunan negeri sentiasa diberi perhatian – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberikan perhatian terhadap peranan golongan wanita terutamanya dalam agenda pembangunan negeri ini.

Beliau berkata, penubuhan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu golongan wanita dalam mencapai potensi sebenar mereka di bawah satu platform.

Ketua Menteri bergambar kenang-kenangan bersama-sama jentera Wanita Liga Muslim Pulau Pinang bertanggungjawab menjayakan penganjuran Sambutan Hari Ibu 2021.

“Di Pulau Pinang, perhatian banyak diberikan kepada golongan wanita supaya kita dapat menghayati prinsip keterangkuman gender dalam pembangunan negeri kita,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu 2021 anjuran Wanita Liga Muslim Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed serta Ketua wanita Liga Muslim Pulau Pinang, Julaiha Begum Md. Sultan.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji kesungguhan dan komitmen Liga Muslim Pulau Pinang dalam menjaga kebajikan serta memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini.

“Liga Muslim Pulau Pinang tidak pernah gagal melaksanakan visi dan misi dalam menjaga kebajikan serta memperkasakan ahli-ahli dan persatuan-persatuan yang bernaung di bawahnya sejak 67 tahun lalu.

“Terima kasih diucapkan kepada Presiden (Liga Muslim Pulau Pinang) kerana turut bersama-sama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam menjayakan visi Penang2030 Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya.

Lima wanita yang dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Muthali.

Pada majlis itu juga, seramai lima wanita dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali yang melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, plak serta sijil penghargaan.

Turut menerima penghargaan adalah dua usahawan wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.

Justeru, Kon Yeow mengucapkan syabas dan tahniah kepada wanita serta ibu-ibu yang terpilih menerima anugerah dan pengiktirafan penuh bermakna tersebut.

“Adalah diharap pengiktirafan yang diterima ini dapat memberi motivasi dan suntikan semangat serta cetusan inspirasi kepada lebih ramai lagi golongan wanita untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS