Perancangan bandar beri implikasi kepada kesejahteraan hidup masyarakat

Admin

TELUK AIR TAWAR – Aspek perancangan bandar memainkan peranan penting dalam mempengaruhi corak kehidupan masyarakat di negara ini termasuk negeri Pulau Pinang, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

Beliau berkata, aktiviti perancangan bandar dilihat mempengaruhi corak sesuatu pembangunan yang memberi implikasi kepada kesejahteraan hidup masyarakat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Aspek perancangan bandar kerap kali mengundang beberapa isu apabila perancangan yang dilakukan dipandang sebagai tidak tepat atau tidak memihak kepada sesuatu kumpulan masyarakat.

Dato’ Seri Sr. Rozali Mahmood menerima anugerah Tokoh Perancang Bandar sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

“Saya memahami bahawa perancangan bandar merupakan satu ‘balancing act’ iaitu menyeimbangkan hak-hak individu, keperluan komuniti dengan visi dan matlamat pihak kerajaan.

“Oleh itu, pendekatan “strengthen unity within community” melibatkan pandangan masyarakat perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam menyediakan satu perancangan dan pembangunan yang lestari,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 dekat Dataran Robina Eco Park, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang), Dato’ Tpr. Rozita Hamit serta ramai lagi.

Pada masa sama, Mooi Lye turut menyarankan agar Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Pulau Pinang menerokai pelaksanaan Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) melalui projek-projek showcasing atau seumpamanya yang terkandung di dalam Rancangan Pemajuan.

“Ini penting supaya ia lebih memberi kesan atau touch point kepada penduduk tempatan.

“Selain membantu penyediaan Rancangan Pemajuan, sudah tiba masanya JPBD Pulau Pinang juga perlu melihat aspek pemantauan dan pencapaian ‘outcome’ dan impaknya secara berkala.

“Pemantauan yang berkesan membolehkan masalah dikenal pasti sebelum ia mendatangkan kesan buruk dan penjajaran semula boleh dibuat untuk memperkukuhkan perancangan yang dibuat,” saran beliau lagi.

Sementara itu, Rozita dalam ucapan beliau sebelum itu menyatakan bahawa dalam mengorak langkah menuju visi Penang 2030, PLANMalaysia komited menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi sebuah negeri pintar dan mesra alam.

Program menanam pokok turut diadakan.

“Ke arah pencapaian matlamat Bandar Mampan dan Sejahtera ini, PLANMalaysia akan cuba menerapkan transformasi minda, kaedah dan tatakelola perancangan serta pengurusan bandar dalam kalangan semua custodian dan stakeholder bandar mahupun desa.

“Selain itu, penglibatan secara langsung semua pihak berkuasa tempatan, seluruh agensi awam, pihak pemaju dan pemain industri adalah amat penting agar keterlibatan, kecaknaan serta perubahan kelakuan warga bandar selaras dengan dasar visi negeri.

“Ini kerana kolaboratif yang utuh secara bersama merupakan prasyarat dan faktor kejayaan utama menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan,” ujarnya.

Pada majlis itu juga, mantan Datuk Bandar BSP, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perancang Bandar bagi tahun 2023 di atas sumbangan besar beliau dalam mengemudi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS