Perang tarif global: Di sebalik setiap krisis, pasti ada peluang baharu akan wujud

arf 3894 KETUA Menteri (kiri) memberi penjelasan lanjut kepada Perdana Menteri (kanan) mengenai langkah proaktif Kerajaan Negeri dengan menubuhkan Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang, semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di PICCA Convention Center @ Butterworth Arena di sini pada 12 April 2025.

BAGAN JERMAL – Atas semangat ASEAN, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim percaya bahawa perang tarif yang dicetuskan pada peringkat global akan kembali reda serta melimpahkan kemakmuran ekonomi ke negara Malaysia termasuk negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak, memberi respons tersebut sebagai mengulas ucapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berhubung penubuhan Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang.

Tegas beliau, Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN lain akan meneruskan proses rundingan dengan semua pihak termasuk Amerika Syarikat, Republik Rakyat China dan Kesatuan Eropah demi kepentingan serantau dalam isu kenaan tarif perdagangan ketika ini.

“Apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump umumkan soal tarif, kita (Kerajaan Persekutuan) bimbang Malaysia khususnya Pulau Pinang (dari segi) eksport semikonduktor itu tinggi.

“Berhubung perkara yang dibangkitkan berkaitan (perang) tarif perdagangan itu, kita (Kerajaan Persekutuan) berharap mudah-mudahan dengan perbincangan dan perundingan atas nama Malaysia dan ASEAN, kita dapat leraikan dengan sebaik mungkin,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 dekat PICCA Convention Center @ Butterworth Arena di sini pada 12 April 2025.

Berucap sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa tahun 2023 menyaksikan Amerika Syarikat merupakan negara kedua tertinggi dalam senarai eksport dari Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion  bersamaan 17 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri.

“(Bukan setakat itu sahaja,) negara tersebut juga merupakan rakan dagangan utama kepada Pulau Pinang dengan lebihan dagangan bernilai RM 57.7 bilion pada tahun 2024.

“Walaupun kedudukan Pulau Pinang yang sekali lagi menjadi penyumbang eksport utama dalam negara pada Februari 2025 dengan nilai RM9.3 bilion dikhuatiri akan menerima impak serius susulan pelaksanaan tarif ini, saya yakin di sebalik setiap krisis, pasti ada peluang baharu yang akan wujud sekiranya kita memfokuskan kepada mencari dan mewujudkan jalan penyelesaian secara progresif serta strategik,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyatakan bahawa pentadbirnya telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang, pada Jumaat lepas.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang yang bakal berfungsi sebagai platform penyelarasan pusat untuk menjejaki perkembangan perdagangan, berinteraksi dengan sektor-sektor terjejas dan sentiasa mengambil maklum serta memaklumi akan tindakan dasar yang responsif,” jelasnya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long antara pemimpin yang menyertai majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama-sama Perdana Menteri tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING