PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, menyeru rakyat di negeri ini supaya melabelkan demam denggi sebagai suatu ‘bencana’ dan perlu diperangi secara habis-habisan.
Katanya, apabila masyarakat mula melihat demam denggi sebagai sesuatu yang sudah ‘biasa’, mereka tidak akan mengendahkan ancaman wabak berkaitan.
“Tahun ini sahaja, sebanyak 16 kes kematian dicatatkan di Pulau Pinang jika dibandingkan hanya lima pada tempoh yang sama tahun 2014.
“Walaupun ada yang melihat bilangan ini kecil, namun ianya tetap melibatkan nyawa seorang manusia dan kita semua tidak boleh berkompromi lagi kerana setiap nyawa adalah sangat berharga.
“Justeru, sekali lagi saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya meluangkan masa membersihkan kawasan sekeliling rumah.
“Kita tidak boleh hanya berharap kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, kerana rumah kita adalah tanggungjawab kita,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kediaman waris seorang mangsa denggi di sini baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, Ketua Menteri menyampaikan sumbangan bernilai RM500 kepada Tham Peng Kuan, 47, yang ‘kehilangan’ teman serumahnya, Sharon Chai, 55, pada 11 November lalu akibat demam denggi. Turut sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.
Peng Kuan ketika menceritakan detik ‘kehilangan’ teman serumahnya menyatakan bahawa mangsa sebelum itu mengadu sakit tulang dan demam panas.
“Saya bawa mendiang ke klinik, tetapi kemudiannya diarahkan untuk ke hospital setelah disyaki suhu badan mendiang naik mendadak.
“Mendiang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di salah sebuah hospital swasta di sini pada 10 November lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.
Keesokan harinya, mendiang disahkan meninggal dunia,” ceritanya dalam keadaan sebak sambil mengalirkan air mata.
}