AIR ITAM – Program ‘Penang Hill Heritage Forest Challenge kembali lagi buat kali keenam pada 25 Ogos ini bermula dari Taman Botani sehingga ke Summit Road dekat puncak Bukit Bendera.
Pihak Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dalam kenyataan berkata, penganjuran program tersebut adalah bertujuan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi ekopelancongan popular dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan warisan di Bukit Bendera.
“Program ini dilancarkan sejak tahun 2014 yang mana sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana telah menarik minat para pengembara dan pelari terdiri daripada semua lapisan masyarakat.
“Oleh itu, pada tahun ini sasaran penyertaan adalah seramai 1,000 di mana setiap peserta perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM40,” jelas PHC.
Difahamkan, program yang dianjurkan bersama-sama Actifestyle Concept’, Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang melibatkan jarak sejauh 15.5 kilometer.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 Julai 2019.
Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut berhubung program tersebut boleh layari laman web http://actifestyle.com/events/pghillchallenge2019.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: PHC