Perbanyak pusat kitar semula, langkah kuat kuasa dasar asing sisa di punca MBSP mesti seiring – Ahli Majlis

Admin
img 0697 ACARA gimik perasmian Pusat Kitar Semula MBSP di Kampung Permatang Pasir pada pagi tadi.

PERMATANG PASIR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited menjadikan kawasan pentadbirannya sebagai bandar rendah karbon menjelang tahun 2030 dan status bandar sifar karbon menjelang tahun 2050.

 

img 0696
NORMAHANI Mohamad

Demi merealisasikan pelan jangka masa sederhana dan panjang tersebut, Ahli Majlis MBSP, Normahani Muhamad berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan menguatkuasakan semula dasar pengasingan sisa di punca yang bermula sejak 2 Julai 2024 lepas.

“Usaha MBSP ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk negeri hijau yang pertama di Malaysia dengan tumpuan pada pencapaian dan kualiti hidup yang tinggi sebagaimana termaktub dalam Visi Penang2030.

“Sehubungan itu, diharapkan dengan perasmian Pusat Kitar Semula Kampung Permatang Pasir ini akan menjadi suatu bentuk kempen kesedaran untuk kemudahan penduduk setempat mengumpulkan dan mengasingkan barang yang boleh dikitar semula di sini,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 20 Julai 2024.

Difahamkan, MBSP menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula pada 1 Jun 2016, tetapi ditangguhkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

Berdasarkan undang-undang tersebut, mereka yang didapati tidak melaksanakan dasar tersebut di premis masing-masing berisiko dikenakan kompaun maksimum RM500 oleh PBT; serta denda tidak melebihi RM2,000; penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah di mahkamah.

Baru-baru ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu bahawa dalam tempoh penguatkuasaan semula dasar tersebut selama 17 hari menyaksikan MBSP mengeluarkan 1,192 notis ketidakpatuhan dasar pengasingan sisa di punca, sementara baki 50 notis lain dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

img 0689
ROSLI Mahmud

Berucap sebelum itu, Pengerusi MPKK Kampung Permatang Pasir, Rosli Mahmud berkata pihaknya serta penduduk kampung setempat mengalu-alukan usaha MBSP mewujudkan pusat kitar semula di sini.

Dengan wujudnya pusat kitar semula itu di sini, beliau berkata pihaknya berharap dapat membantu MBSP memanjangkan hayat Pusat Pelupusan Sampah Negeri Pulau Pinang di Pulau Burung, daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Di kawasan (Kampung Permatang Pasir) kita kini kian padat, ada enam kedai runcit dan tujuh kedai makan.

“Jadi, penjanaan sampah kian bertambah jika kita (penduduk lokal) tidak menjayakan program kitar Semula MBPP di sini,” katanya lagi.

Serentak majlis sama, Normahani dan Rosli turut menyampaikan pek bantuan bekalan makanan asas kepada kelompok terpilih lokal.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB