KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri kini dalam peringkat akhir perbincangan bersama-sama Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia (Tzu-Chi) berhubung kaedah pengurusan, pengoperasian dan penyeliaan Pusat Transit Gelandangan yang terletak di atas tapak milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Jalan C.Y. Choy.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek pembangunan pusat tersebut kini hampir siap dan dijangka akan dapat disempurnakan menjelang penghujung bulan Jun ini atau pada awal Julai nanti.
“Kerajaan Negeri (melalui Mesyuarat Exco) telah mengarahkan Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk menguruskan pusat tersebut.
“Dari segi pembangunan fizikal, kebanyakan komponen telah disiapkan cuma kaedah pengurusan, operasi dan penyeliaan masih dalam perbincangan peringkat akhir.
“(Dan) saya percaya Exco telahpun berbincang dengan Tzu-Chi mengenainya yang mana pihak Kerajaan Negeri bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan daripada NGO berkaitan,” ujarnya pada sidang media sejurus merasmikan Pusat Komuniti Padang Tembak di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan & Ekonomi dan Komunikasi memaklumkan bahawa beliau yakin Tzu-Chi mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan tempat perlindungan untuk golongan bergelandangan.
“Saya harap kita (Kerajaan Negeri dan Tzu-Chi) dapat mencapai kata sepakat dan persetujuan sebelum memeterai memorandum kerjasama kelak.
“(Dan) saya berharap ia dapat memberi manfaat terutama kepada golongan bergelandangan di sekitar kawasan George Town, pengumuman lanjut mengenainya akan dimaklumkan kelak,” jelasnya.
Sebagai rekod, Pusat Transit Gelandangan yang dibangunkan di atas tapak berkeluasan 1,347 meter persegi adalah sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk membantu golongan yang menjalani kehidupan bergelandangan melalui program-program pemerkasaan yang disediakan termasuk program intervensi dadah.
Projek yang sepatutnya siap pada bulan Ogos 2021 itu menerima arahan pelanjutan tempoh masa setelah tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020.
Difahamkan, apabila siap kelak, pusat ini dilengkapi dengan kemudahan penginapan transit, ruangan aktiviti untuk warga emas, ruangan kitar semula, dobi, kafe, taman poket dan pusat komuniti setempat. Malah, segala kemudahan di pusat ini bukan sahaja mesra warga emas malahan orang kurang upaya (OKU) juga.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN Video : DARWINA MOHD. DAUD